BORACAY (Filipina): Malaysia berminat meneroka teknologi baharu dalam 5G dan bidang penyiaran dari Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Seri Mohammad Mentek.
Dalam kunjungan hormat oleh delegasi AS di luar Mesyuarat Pegawai Kanan Digital ASEAN Ketiga (ADGSOM) di sini hari ini, Mohammad bercakap mengenai rancangan Malaysia berkaitan ekonomi digital dan menggalakkan lebih banyak kerjasama antara kedua-dua negara.
Beliau turut menyentuh aspek keselamatan siber, perlindungan data dan program antipenipuan sambil menekankan berminat meneroka semua bidang berkenaan.
Pada mesyuarat itu, Timbalan Penolong Setiausaha bagi Dasar Maklumat dan Komunikasi Antarabangsa AS, Steve Lang, yang mengetuai delegasi negara berkenaan, mempelawa Malaysia menyertai satu siri bengkel bermula dengan Memudahkan Aliran Data Rentas Sempadan di Asia Tenggara.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Antarabangsa KKD, Mano Verabathran dan Pegawai Ekonomi Misi AS ke ASEAN, Henry Fung. – BERNAMA