KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Indonesia, bermula esok dalam usaha untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dalam sektor agrikomoditi.
Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, untuk membincangkan isu berkaitan industri sawit.
Antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah berkaitan strategi untuk menangani peraturan Kesatuan Eropah (EU), terutamanya European Union Deforestation Regulation (EUDR), yang meletakkan industri sawit dalam risiko.
Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam satu kenyataan hari ini menyebut, pertemuan itu juga akan mempertingkatkan kerjasama menerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
"Menerusi lawatan ini, Malaysia berhasrat dapat mengukuhkan pakatan negara pengeluar minyak sawit dan menggiatkan kempen positif secara bersama, di samping mengadakan dialog dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk negara pengeluar dan pengguna minyak sawit.
"Kerjasama Malaysia dan Indonesia amat penting di peringkat antarabangsa dengan organisasi pelbagai hala, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak pensijilan dan rangka kerja di peringkat global.
"Kerjasama ini penting kerana isu pensijilan dan kebolehjejakan adalah elemen yang dititikberatkan dalam pelaksanaan EUDR dan akses kepada pasaran global.
"Kementerian berharap lawatan ini akan menggerakkan langkah tersusun secara kolektif demi menjaga kepentingan industri sawit daripada serangan pihak luar, terutamanya EU melalui halangan perdagangan yang berbentuk diskriminasi," katanya.
Selain itu, Fadillah juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Indonesia, Dr Zulkifli Hasan, untuk membincang dan memperkukuhkan kerjasama kedua-dua negara melalui Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Kenyataan itu menyebut, perbincangan akan memberi tumpuan kepada cadangan penubuhan Majlis Getah ASEAN (ArCo) di bawah ASEAN," katanya. - BERNAMA