Selasa, 7 Februari 2023 | 8:44pm
Pasukan penyelamat menarik keluar seorang mangsa susulan gempa bumi yang melanda Syria. - REUTERS
Pasukan penyelamat menarik keluar seorang mangsa susulan gempa bumi yang melanda Syria. - REUTERS

Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa di Syria

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mengesahkan tiada rakyat Malaysia di Syria terjejas akibat gempa bumi, berdasarkan laporan diterima daripada konsul jeneral kehormat di negara itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia di Syria dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta nasihat terkini pihak berkuasa tempatan, memandangkan gegaran susulan dijangka berlaku.

Beliau turut mengucapkan simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa serta kepada kerajaan dan rakyat Syria.

"Malaysia sedang bersiap sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan bagi meringankan beban rakyat di kawasan terjejas akibat gempa bumi kuat semalam," menurut kenyataan itu.

Untuk bantuan, Zambry berkata, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Syria melalui telefon di nombor +963 93324 5555 atau e-mel samir@honconsuladvisor.my.

Mereka juga boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Beirut melalui telefon di nombor +961 1787 144/166 atau e-mel mwbeirut@kln.gov.my dan Kedutaan Malaysia di Amman di +962 6 590 2400 atau e-mel mwamman@kln.gov.my.

Dua gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 dan 7.6 melanda selatan Turkiye semalam, yang turut menjejaskan negara jiran Syria.

Menurut kemas kini terbaru dikeluarkan Agensi Anadolu, bencana itu meragut sekurang-kurangnya 3,419 nyawa di Turkiye manakala 1,559 orang terbunuh di Syria. – BERNAMA

Berita Harian X