KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di kawasan Bukit Enggang, Sik, Kedah, sudah disiapkan sebelum tindakan boleh diambil mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994.
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkata, kertas siasatan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan di tapak kecurian REE terbabit bagi mengenal pasti lokasi, kaedah perlombongan dan bukti kecurian lapangan.
"Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) untuk arahan lanjut.
"JMG juga menyeru semua pihak berkuasa negeri supaya menjalankan pemantauan yang berterusan terhadap sumber mineral supaya tidak berlaku kecurian dan penerokaan haram," katanya kepada BH.
Difahamkan, kertas siasatan berkenaan ada kaitan dengan pendedahan media pada Oktober lalu berkaitan kecurian REE di tapak berkenaan membabitkan pihak tertentu dan dijual di pasaran haram antarabangsa.
BH semalam pula mendedahkan kegiatan mengorek REE secara tidak sah di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik didakwa aktif semula ketika ini membabitkan kumpulan warga asing yang berselindung menggunakan kebenaran kerajaan negeri kepada syarikat usaha sama tempatan dan luar negara.
Berkaitan isu sama, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, sebelum ini turut dilaporkan meminta NRECC campur tangan dalam rancangan kerajaan negeri melakukan penerokaan ke atas REE di Bukit Enggang, Sik.
NRECC, JMG tak terbabit
JMG berkata, aktiviti penerokaan sumber mineral adalah terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri dan permohonan untuk menjalankan aktiviti itu adalah diputuskan pihak terbabit.
Katanya, NRECC dan JMG tidak terbabit dalam membuat sebarang keputusan bagi permohonan berkenaan.
"Namun, JMG selaku agensi teknikal dalam kawal selia perlombongan sudah dirujuk oleh MBI Kedah dan rakan strategiknya ketika sesi pembentangan khusus mengenai kaedah cari gali yang akan digunakan dalam Lesen Mencarigali Mineral Lanthanide di Sik, Kedah.
"Ulasan teknikal akan dikemukakan terhadap cadangan aktiviti penerokaan itu selaras dengan dasar dan perundangan semasa yang berkuat kuasa," katanya.
Menurut JMG, secara amnya, kawasan penerokaan sewajarnya terletak dalam kawasan yang dibenarkan bagi menjalankan aktiviti perlombongan mineral demi menjaga kelestarian alam sekitar dan mengelakkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
Sementara itu, JMG berkata, semua pihak berkaitan dinasihatkan untuk mematuhi semua perundangan semasa dan melalui dokumen SOP NR-REE Malaysia yang bakal dimuktamadkan.
Katanya, SOP NR-REE Malaysia ialah dokumen umum yang menjadi panduan dan rujukan bagi Pihak Berkuasa Negeri untuk membangunkan SOP NR-REE negeri masing-masing.
"Perkara penting dalam SOP NR-REE ini ialah kawalan pada peringkat eksplorasi, perlombongan dan pemulihan tapak dengan mengambil kira semua faktor seperti risiko pencemaran terhadap alam sekitar, sumber air permukaan, air bawah tanah, konflik antara manusia dan hidupan liar serta penjanaan ekonomi setempat.
"SOP ini turut menekankan perancangan dan penilaian yang teliti dilakukan supaya tiada kesan buruk terjadi kepada alam sekitar dan masyarakat setempat," katanya.
Menurut JMG, dalam membangunkan SOP NR-REE negeri, pihak berkuasa negeri perlu membuat penyesuaian sewajarnya supaya ia selaras dengan keperluan perundangan pada peringkat negeri seperti Enakmen Mineral Negeri.