KUALA LUMPUR: Seramai 1,300 lagi pembantu rumah atau Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dijangka dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh terdekat, tambahan kepada 800 amah sedia ada yang sudah berada di negara ini sejak April tahun lalu.
Timbalan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rossy Verona, berkata secara keseluruhan, seramai 393,000 pekerja dari negaranya bekerja di Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen setakat Disember 2022.
Katanya, Indonesia melihat keadaan lebih baik selepas Jakarta dan Kuala Lumpur memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan PDI pada April tahun lalu.
"Selepas pemeteraian MoU itu, 800 PDI berjaya dibawa masuk ke negara ini sehingga kini dan 1,300 lagi dijangka tiba dalam tempoh terdekat berdasarkan proses dan kelulusan yang diberikan. Pengambilan PDI masih berpaksikan kepada MoU yang ditandatangani April lalu.
"Dengan adanya perjanjian seperti ini, ia dapat menangani masalah dihadapi PDI yang akan masuk melalui prosedur ditetapkan serta yang sudah sedia ada di sini," katanya dalam temu bual bersama BH di pejabatnya, di sini.
MoU itu antara lain menetapkan kos maksimum pengambilan PDI pada RM15,000, seorang PDI hanya boleh berkhidmat untuk isi rumah tidak lebih enam orang, hanya menjaga rumah atau anak atau orang tua, selain gaji perlu dibayar sebelum hari ketujuh setiap bulan dengan upah minimum RM1,500.
Rossy berkata, selepas hak PDI dibela melalui MoU berkenaan, usaha ke arah memperbaharui perjanjian persefahaman membabitkan sektor pekerjaan formal lain membabitkan warganegara itu di Malaysia juga sedang dilaksanakan.
"Kali terakhir perjanjian persefahaman membabitkan sektor formal dibuat pada 2004 dan ada keperluan untuk memperbaharuinya selaras perkembangan semasa," katanya berharap majikan di Malaysia tidak lagi mengabaikan aspek kemanusiaan dan kebajikan pekerja Indonesia, khususnya PDI.
Kes pengabaian dikesan sebelum ini, katanya, termasuk tidak membayar gaji, pasport dipegang majikan, tidak diurus permit kerja dan tidak diberikan kebenaran berhubung dengan ahli keluarga di kampung.
"Atas dasar itu, penting untuk program pendidikan terus dibuat membabitkan pihak berkepentingan di Malaysia, khususnya majikan. Mereka perlu didedahkan kepada mekanisme dan prosedur pengambilan tenaga kerja luar melalui saluran yang betul.
"Kita pernah berdepan kes di mana selama belasan tahun, PDI tidak dibayar gaji dan dipukul majikan, ada dibuang di tepi jalan, tidak boleh menghubungi keluarga. Ada yang pasport mereka ditahan majikan, tidak diurus permit kerja, didera. Ia antara kes yang tidak berperikemanusiaan," katanya.
Disebabkan kes-kes sedemikian, beliau berkata, negaranya melihat penghantaran tenaga kerja untuk berkhidmat dalam sektor formal seperti perkilangan dan perladangan di Malaysia, lebih menjamin kebajikan mereka.
Sementara itu, Rossy memuji lanjutan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 selama setahun lagi sehingga 31 Disember 2023, yang disifatkan menguntungkan kedua-dua pihak melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di Malaysia.
Beliau bagaimanapun berharap majikan dapat menguruskan keperluan tenaga kerja dari Indonesia yang mempunyai masalah kesihatan, tidak boleh bekerja dan perlu pulang ke negara asal, dalam aspek pembelian tiket dan urusan berkaitan lain sepanjang RTK 2.0 dilaksanakan.
"Besar harapan kami supaya melalui RTK 2.0 ini, perlindungan secara maksimum untuk pekerja dari Indonesia, termasuk memastikan hak dan penegakan hukum yang adil diberikan kepada mereka. Tidak mahu lagi ada kes penderaan.
"Kita harus terus mendidik majikan di sini supaya menjaga hak pekerja dalam aspek kebajikan dan pembayaran gaji. Pembayaran gaji harus terus teratur, majikan perlu urus lanjutan sah pasport, permit dan kontrak kerja, tidak hanya terhenti setakat mahu sahkan (pengambilan kerja) mereka," katanya.
Katanya, pihak kedutaan juga tidak mahu pelaksanaan RTK 2.0 memberi isyarat salah buat rakyat Indonesia yang mungkin mengambil kesempatan masuk secara haram ke Malaysia selepas 31 Disember 2022 lalu.
Rossy juga mengharapkan koordinasi antara kedua-dua negara dapat dipereratkan bagi menyelesaikan sebarang isu membabitkan pekerja, termasuk mencegah dan mengambil tenaga kerja dari Indonesia tanpa mengikut prosedur.
"Kita ada jawatankuasa kerja yang akan berbincang setiap tiga bulan sekali, memantau dan cari penyelesaian sebarang masalah, terutama berkaitan PDI," katanya menyarankan kedua-dua negara mengumpul data komprehensif berhubung pemutihan pekerja agar kawalan lebih mudah dilaksanakan.