KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran melaksanakan agihan dividen bertingkat sebagai usaha meningkatkan simpanan pencarumnya.
Cadangan itu adalah antara tiga perkara dikemukakan Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, yang bimbang dengan isu majoriti pencarum menghadapi masalah caruman yang rendah.
Katanya, pelaksanaan dividen bertingkat itu mengikut tiga tingkat simpanan yang mana dividen paling tinggi, diberikan mengikut caruman simpanan.
"Dividen diberikan untuk simpanan RM50,000 pertama, simpanan RM50,000 hingga RM240,000 (sasaran simpanan asas) dan simpanan RM240,000 ke atas.
"Jika pencarum mempunyai simpanan lebih RM1 juta, mereka masih boleh mendapat dividen yang tinggi untuk RM50,000 simpanannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu merujuk gesaan beberapa pihak supaya KWSP mengizinkan pencarum membuat pengeluaran KWSP mereka.
Sebelum ini BH melaporkan kira-kira 97 peratus pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai paras simpanan ideal sebanyak RM600,000 untuk bersara dengan selesa di bandar utama.
Menurut data terkini KWSP, hanya sebilangan kecil iaitu 2.6 peratus atau 350,000 pencarum daripada 13.1 juta pencarum berusia 55 tahun dan ke bawah mencapai paras kecukupan simpanan atau paras ideal itu.
Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya, turut mencadang KWSP meningkatkan pelaburan luar supaya organisasi itu lebih produktif dan profesional.
Katanya, pada 2021, KWSP mencapai pulangan 8.64 peratus untuk pelaburan antarabangsa, manakala pulangan pelaburan tempatan hanya sekadar 5.02 peratus.
Beliau juga mencadangkan supaya KWSP menghadkan pengeluaran selepas mencapai umur 55 tahun mengikut jumlah caruman serta mengambil kira keperluan persaraan.
Katanya, adalah lebih baik semua pihak menumpukan cara untuk mencukupkan caruman berbanding berdebat sama ada pengeluaran tambahan harus dibenarkan.
"KWSP sebagai pelaksana wajar tumpukan tenaga mereka untuk meningkatkan pulangan dan memberikan kesedaran serta kecelikan dalam pengurusan persaraan rakyat kita.
"Pengeluaran berterusan adalah umpama membunuh 'angsa bertelur emas' yang bukan saja melepaskan peluang menambahkan aset pencarum, malah memerlukan antara tiga hingga lima tahun untuk paras simpanan kembali ke paras asal," katanya.
Beliau menegaskan pengeluaran beberapa kali sebelum ini di bawah nama i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dilaksanakan bagi mengurangkan kemampuan ramai pencarum bagi berhadapan kos sara hidup yang tinggi.
"Keputusan ketika itu perlu kerana rakyat berhadapan kemelut ekonomi dan krisis kesihatan COVID-19.
"Sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 6.67 juta ahli KWSP ataupun 51.5 pertaus hanya mempunyai simpanan di bawah RM10,000 .
"Nilai ini adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan sasaran RM240,000 untuk simpanan asas," katanya.