KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mewujudkan dana endowmen bagi membantu golongan rentan menjalani kehidupan yang sejahtera selepas usia persaraan.
Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata dengan adanya dana seumpama itu dan dikendalikan oleh institusi keselamatan sosial, orang ramai dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh menyumbang kepadanya.
"Dana dikumpul itu boleh dilabur dan hasil pelaburannya digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Boleh gunakan konsep wakaf dengan menggalakkan orang ramai menyumbang daripada perbelanjaan harian mereka. Di Malaysia, jumlah perbelanjaan isi rumah adalah RM800 bilion (setahun), dan jika satu peratus disumbangkan kepada dana itu ia membabitkan RM8 bilion (setahun).
"Jika ditambah dengan sumbangan GLC dan kerajaan, kemungkinan setiap tahun kira-kira RM10 hingga RM20 bilion dapat dikumpul ke dalam dana itu dan hasil pelaburannya kira-kira RM1 bilion hingga RM2 bilion setahun boleh diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada BH bagi mengulas langkah yang boleh dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat terutama golongan rentan selepas bersara.
Barjoyai berkata demikian ketika diminta mengulas isu lebih 50 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur di bawah 50 tahun hanya mempunyai baki simpanan persaraan kurang RM10,000.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha untuk menampakkan hasil menerusi dana endowmen itu mungkin mengambil masa yang lama iaitu sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun.
Mengenai kewajaran kemudahan pengeluaran KWSP dibenarkan sekali lagi bagi membantu golongan terkesan, Barjoyai berpendapat jika dibenarkan, hanya sebilangan kecil pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi mendapat manfaat.
"Walaupun pengeluaran dibenarkan sekali lagi, namun golongan yang amat memerlukan dari kumpulan B40 mungkin tidak mendapat manfaat kerana sebahagian besar mempunyai jumlah simpanan kurang RM10,000," katanya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff melihat kebenaran pengeluaran KWSP sekali lagi tidak akan memberi manfaat kepada pencarum yang benar-benar memerlukan tunai kerana caruman mereka sudah terlalu rendah.
Beliau berkata, pencarum yang mendapat manfaat kemungkinan hanya mereka yang sudah lama bekerja dan bukan golongan yang memerlukan bantuan itu.
"Justeru, bantuan alternatif harus difikirkan kepada golongan yang amat memerlukan dan bukannya melalui pengeluaran KWSP," katanya.
Ahmed Razman menyarankan untuk memastikan majoriti pencarum mempunyai simpanan yang cukup untuk persaraan, antara inisiatif yang boleh ditambah baik ialah dengan menggalakkan majikan memberi gaji yang lebih tinggi dan juga peratusan caruman yang lebih tinggi.
Selain itu, beliau berkata, inisiatif yang membolehkan pihak ketiga untuk menyumbang dalam caruman pencarum juga boleh diperkenalkan.