KUALA LUMPUR: Tiada perjawatan baharu akan diwujudkan sekiranya agensi tunggal bagi mengawal selia sempadan negara atau Single Border Agency (SBA) ditubuhkan kerajaan, tidak lama lagi.
Sebaliknya, ia akan menggunakan kepakaran sedia ada membabitkan pegawai dan anggota yang sudah berkhidmat di pintu masuk negara.
Difahamkan, pegawai dan anggota, termasuk aset di beberapa agensi penguatkuasaan di setiap pintu masuk Malaysia bakal digabungkan dan diserap di bawah agensi itu bagi mengawal selia sempadan negara.
Ia membabitkan pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat di pintu masuk udara iaitu di lapangan terbang, pelabuhan (laut) dan darat di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) serta Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).
Sekiranya agensi itu ditubuhkan, pegawai dari bahagian penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen (Imigresen), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kesihatan, yang ketika ini menguruskan penerimaan manusia dan barangan di pintu masuk negara, akan berkhidmat di bawah agensi berkenaan.
Difahamkan, agensi itu juga akan diketuai oleh seorang ketua pengarah atau ketua pesuruhjaya yang dipilih dalam kalangan pegawai.
BH turut difahamkan, prosedur serta tugasan operasi di bawah SBA juga berbeza seperti Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), yang sebelum ini diwujudkan dengan fungsi dan bidang kuasa masing-masing.
Tindakan lebih berkesan
Perkara sedemikian adalah antara perancangan yang sedang diteliti Pasukan Nukleus SBA untuk memastikan agensi tunggal itu dijayakan dengan tindakan yang lebih berkesan melalui hanya satu kawalan.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah yang mengetuai Pasukan Nukleus SBA, berkata kajian mengenai penubuhan itu sudah berada pada peringkat akhir dan beberapa perkara sudah diputuskan sebelum ia dibawa bagi kelulusan kerajaan dan Jemaah Menteri, untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pihaknya juga sudah mencadangkan beberapa nama untuk diputuskan dan digunakan sebagai agensi yang akan menyelaras setiap tindakan di pintu masuk negara.
"Antara yang kita putuskan adalah mengenai tenaga kerja yang akan berkhidmat dalam agensi tunggal ini memandangkan langkah mewujudkan organisasi ini sangat penting kerana ia membabitkan pintu masuk dan sempadan negara.
"Tiada perjawatan baharu yang akan diwujudkan dalam agensi ini, sebaliknya ia akan menggunakan kepakaran sedia ada iaitu terdiri daripada pegawai dan anggota yang sudah berkhidmat di pintu masuk negara.
"Kakitangan akan terus menjalankan tugasan hakiki mereka, contohnya pegawai Imigresen akan menyelia kemasukan dan dokumen pengembara luar akan kekal melaksanakan tugas sedemikian. Begitu juga anggota Jabatan Kastam yang memeriksa barangan dan mengutip cukai.
"Cuma mereka akan berkhidmat di bawah sebuah agensi baharu. Perjawatan dan setiap kelengkapan atau teknologi yang digunakan di pintu masuk adalah sama," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Pengoperasian ikut SOP baharu
Ditanya mengenai kaedah pengoperasian yang akan digunakan oleh pegawai dan anggota SBA, Borhan mendedahkan, ia akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.
"Tujuan kewujudan SBA ini adalah untuk menutup kelemahan yang ada di pintu masuk dan sempadan negara dan sudah tentu apabila agensi tunggal ini diwujudkan, SOP akan dilaksanakan lebih terperinci.
"Kita tidak mahu, kegagalan ketika UPP dan AKSEM berlaku semula apabila SBA ini diwujudkan.
"SBA ini juga diwujudkan bukan disebabkan isu pertindihan kuasa, sebaliknya bertujuan memantapkan perkhidmatan dan memastikan semua yang terbabit berkhidmat dalam satu agensi kawalan pintu masuk di laut iaitu pelabuhan; udara membabitkan lapangan terbang dan darat di CIQ dan CIQS," katanya.
Katanya, kewujudan SBA ini dilaksanakan dengan penuh teliti dengan mengambil pandangan serta kepakaran agensi terbabit di pintu masuk dan sempadan negara.
"Dalam pasukan nukleus ini, kita ada pegawai dari setiap agensi yang terbabit khususnya dalam memastikan prosedur dan operasi di lapangan diberi perhatian sepenuhnya memandangkan usahanya ada untuk menaik taraf lagi perkhidmatan dan menutup ruang ketirisan.
"Kita tidak mahu berlangsung sekadar agensi terbabit, namun tindakan serta operasi tidak selari, seperti yang berlaku pada UPP dan AKSEM sebelum ini," katanya.