Rabu, 25 Januari 2023 | 10:59am
Muhd Rizal (kanan) dan Syed Norhaimi memetik anggur jenis Jupiter selepas enam bulan ditanam di Pusat Pertanian Temin di Jerantut. - NSTP/ROSELAN AB MALEK
Muhd Rizal (kanan) dan Syed Norhaimi memetik anggur jenis Jupiter selepas enam bulan ditanam di Pusat Pertanian Temin di Jerantut. - NSTP/ROSELAN AB MALEK

Tanam anggur tepi rumah

JERANTUT: Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP) akan menganjurkan kursus menanam anggur kepada penduduk di negeri ini, khususnya di kawasan perumahan.

Pengarahnya, Muhd Rizal Baharom, berkata anggur bukan lagi sukar ditanam dan dibuahkan di negara ini jika tahu tekniknya.

Katanya, kursus itu akan diadakan dua kali seminggu pada Jun depan dengan mengenakan sedikit bayaran kepada orang ramai yang berminat.

"Ia boleh disertai mereka yang mahu menjadikan anggur sebagai tanaman hobi di pinggir rumah dan juga yang ingin menanam secara komersial. Kursus sehari itu terhad 20 peserta setiap sesi yang akan dijalankan secara teori dan pratikal di Pusat Pertanian Temin, di sini.

"Peserta antara lain akan diberi penerangan mengenai varieti anggur yang boleh berbuah di negara ini, media tanaman, pembajaan, kawalan penyakit dan teknik membuahkan anggur," katanya ketika ditemui selepas memetik hasil sulung anggur jenis Jupiter di Pusat Pertanian Temin, di sini hari ini.

Beliau berkata, anggur boleh ditanam di atas tanah atau dalam pasu dan tidak memerlukan kawasan luas, sekali gu sesuai ditanam di rumah kawasan perumahan yang mempunyai ruang terhad.

"Ini dibuktikan oleh penduduk Perumahan Awam Kos Rendah, Batu Embun, dekat sini, Syed Norhaimi Syed Zin yang menanam pelbagai jenis anggur di kawasan rumahnya yang sempit.

"Malah anggur yang ditanamnya berbuah lebat seperti di luar negara dan rasanya manis seperti dijual di pasar raya," katanya.

Katanya, JPNP juga menanam anggur 32 spesies anggur dari pelbagai negara di pusat pertanian itu, antaranya Jupiter, Glasha, Heliodor, Baikonor, Ninel, Krasava, Lorano, Dixon, Jubilee, Krasotka, Banana dan Velez.

"Anggur yang ditanam itu sudah mengeluarkan hasil dalam masa enam bulan sahaja. Pokok yang baru tiga bulan ditanam sudah menggeluarkan bunga dan tiga bulan kemudian, boleh menikmati buahnya," katanya.

Sementara itu, Syed Norhaimi, berkata beliau mula meminati tanaman anggur ketika Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) akibat penularan COVID-19 kerana tidak boleh bergerak ke mana-mana.

"Untuk menghilangkan jemu, saya banyak layari Facebook dan teruja ada orang boleh membuahkan anggur di negara ini dengan mudah. Justeru saya mengikuti kursus secara bersemuka dan secara dalam talian bagi meningkatkan ilmu.

"Kemudian saya membuat pesanan beberapa jenis benih dan cubaan menanam dalam pasu di tepi rumah kerana kawasan kediaman teres ini sempit.

"Anggur jenis Jupiter paling sesuai di tanam di kawasan rumah kerana selain mudah berbuah lebat, ia juga manis, beraroma markisa dan berperisa laici," katanya.

Berita Harian X