Selasa, 24 Januari 2023 | 10:05pm
Hannah (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika hadir pengebumian Allahyarham Dr Abd Rani Osman. - FB HANNAH YEOH
Hannah (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika hadir pengebumian Allahyarham Dr Abd Rani Osman. - FB HANNAH YEOH

'Saya menjadi saksi Dr Rani seorang insan yang baik' - Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Allahyarham Dr Abd Rani Osman sebagai insan istimewa berhati mulia dan sahabatnya yang baik.

Hannah berkata, beliau terkejut dengan pemergian Allahyarham semalam pada hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina dan bergegas ke Meru, Klang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

"Dalam masjid, kedengaran doa yang dibacakan bercampur-baur dengan tangisan dan berakhir dengan kata-kata "ini hamba Allah yang baik."

"Saya menjadi saksi bahawa Dr Rani adalah seorang insan yang baik. Benar, masakan tidak, setiap kali saya diserang kerana kepercayaan agama saya, beliaulah yang akan meyakinkan saya untuk tidak berasa bimbang.

"Apabila anak perempuan saya dilahirkan dan diadakan majlis ringkas di gereja, Dr Rani turut menghadirinya. Semasa isu serbuan DUMC (Gereja Methodist Damansara Utama) berlaku, beliaulah mengetuai delegasi ahli politik Islam untuk berdialog dengan pihak gereja.

"Beliau memperlihatkan kepada saya bagaimana kita boleh menjalani kehidupan bersama dengan orang yang berlainan agama," kata Ahli Parlimen DAP itu melalui Facebooknya.

Gambar kenangan Hannah (dua dari kanan) bersama Allahyarham Dr Abd Rani Osman. - FB HANNAH YEOH
Gambar kenangan Hannah (dua dari kanan) bersama Allahyarham Dr Abd Rani Osman. - FB HANNAH YEOH

Dr Abd Rani, 64, meninggal dunia semalam selepas tidak sedarkan diri ketika sedang bercuti bersama keluarga di Pulau Carey, Kuala Langat.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 5 pagi.

Hannah yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Subang Jaya turut melahirkan rasa syukur kerana dapat hadir pada majlis pengebumian itu dan tidak dapat menahan air matanya atas pemergian Allahyarham.

"Beliau tentunya akan sangat dirindui. Kami mungkin seteru dalam politik, namun Dr Rani adalah satu-satunya, malah seorang sahabat yang paling dikasihi.

"Begitulah bagaimana saya akan mengenangnya. Semasa hayat, ketika mempunyai jawatan ataupun tanpa sebarang jawatan, tuan memberikan khidmat bakti terbaik buat rakyat Meru," katanya.

Hannah berkata, Dr Abdul Rani kekal dalam PAS ketika Pakatan Rakyat (PR) berpecah pada 2015 dan PAS Selangor mencapai keputusan terbaik dalam pilihan raya umum ketika diterajui Allahyarham.

"Kami terus kekal berhubung, malah saya sempat berjumpa beliau dan makan bersama di Meru tahun lalu. Saya berasa lega kerana tidak menangguhkan hasrat itu.

"Apabila papan iklan kempen saya dirosakkan baru-baru ini, saya mendapat mesej daripada Dr Rani yang bertanyakan keadaan saya. Dr Rani, saya begitu sayangkan tuan dan terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup saya," katanya.

Berita Harian X