Selasa, 24 Januari 2023 | 6:09pm
PKR hanya mampu melepasi fasa ‘menyemai benih’ dan belum lagi berupaya menuai hasil kejayaan melalui rancangan lima tahun bagi membina kekuatan parti di Kelantan dan Terengganu - penganalisis politik. - Foto hiasan
PKR hanya mampu melepasi fasa ‘menyemai benih’ dan belum lagi berupaya menuai hasil kejayaan melalui rancangan lima tahun bagi membina kekuatan parti di Kelantan dan Terengganu - penganalisis politik. - Foto hiasan

Sukar untuk PKR bertapak di Pantai Timur, walau ada formula 5 tahun

KUALA LUMPUR: PKR hanya mampu melepasi fasa 'menyemai benih' dan belum lagi berupaya menuai hasil kejayaan melalui rancangan lima tahun bagi membina kekuatan parti di Kelantan dan Terengganu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Muhammad Izmer Yusof, berkata PKR mungkin boleh membina tapak kekuatan untuk parti itu di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima tahun ditetapkan itu.

Namun untuk PKR menakluki kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui pilihan raya, ia dilihat sukar dan hampir mustahil dalam tempoh terbabit.

"Sebaliknya ia mungkin boleh direalisasikan sekurang-kurangnya melalui lima pilihan raya lagi yang mengambil masa 25 tahun, ...seperti mana PAS mencipta kekuatan di Pahang yang juga kubu kuat UMNO sebelum ini.

"Kita ingin bercakap mengenai menukar tradisi dan ia bukan mudah. Ia memerlukan pelan jangka panjang bukan sekadar lima tahun sahaja, ..kekuatan PAS di dua negeri itu adalah kekuatan tradisi.

"Sedangkan AMANAH yang mempertaruhkan Husam Musa di Kelantan pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) juga gagal dengan PAS, ...maka PKR masih berdepan laluan sukar," katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa PKR akan melaksanakan rancangan lima tahun bagi membina kekuatan parti di Kelantan dan Terengganu.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, berkata pendekatan itu adalah perancangan jangka panjang sebelum berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan rancangan terbabit akan dilancarkan akhir Februari depan sebelum ia bermula pada 1 Mac nanti.

Pada masa sama, Muhammad Izmer berkata, dasar PKR yang bukan parti berasaskan Melayu, menjadikan usaha itu berdepan laluan lebih sukar malah UMNO sendiri 'gagal' memecahkan dominasi PAS khususnya di Kelantan.

Rafizi mungkin boleh mula membuat formula membina kekuatan di negeri Pantai Timur itu selepas melihat pola sokongan pengundi melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"PRN akan menjadi buah mula atau indikasi sokongan pengundi di negeri Pantai Timur terhadap PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berkata lima tahun adalah tempoh yang disifatkan sangat singkat bagi melakukan perubahan khususnya membabitkan peralihan sokongan rakyat daripada PAS kepada PKR.

Walaupun ia bukan kerja yang mudah namun PKR mungkin berpeluang mengintai kekuatan itu jika kerajaan Perpaduan yang dibentuk sekarang mampu membuat perubahan drastik yang memberi kemenangan kepada rakyat khususnya dalam soal ekonomi.

"Identiti kepartian adalah sangat kuat di negeri Pantai Timur dan ia dilihat semakin menebal berdasarkan kejayaan PAS yang memenangi semua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu pada PRU15.

"Jadi dalam tempoh lima tahun yang digariskan itu, saya berasa terlalu awal untuk PKR lakukan kejutan di dua negeri itu, ...usaha itu memerlukan perancangan lebih lama dan panjang seperti mana mereka berjaya menakluki Selangor pada 2008." katanya.

Pada peringkat awal ini, perkara asas perlu dilakukan PKR ialah bagaimana untuk meyakinkan rakyat atau pengundi bagi mengalihkan momentum sokongan terhadap parti itu.

Namun dengan kedudukan PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang semakin kukuh di Kelantan serta Terengganu, ruang baharu untuk PKR bertapak itu dilihat agak sukar.

Berita Harian X