Selasa, 24 Januari 2023 | 1:01pm
Sebahagian besar ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan persaraan di bawah RM10,000 yang dianggap berada pada paras tenat. - Foto hiasan
Sebahagian besar ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan persaraan di bawah RM10,000 yang dianggap berada pada paras tenat. - Foto hiasan

Simpanan asas wajar pada usia 55 tahun adalah RM240,000 – KWSP

SHAH ALAM: Sebahagian besar ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan persaraan di bawah RM10,000 yang dianggap berada pada paras tenat.

Ini kerana mengikut data KWSP, hingga akhir tahun lalu 51.5 peratus atau seramai 6.67 juta ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai simpanan persaraan di bawah paras RM10,000.

Jumlah berkenaan meningkat sebanyak 9.7 peratus atau 591,000 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, berkata kebenaran pengeluaran itu memberikan kelegaan kewangan kepada ahli ketika pandemik, namun situasi itu menyebabkan jumlah simpanan mereka merosot dan ia perlu dibina semula.

"Sebahagian besar pencarum masih mempunyai simpanan yang rendah. Jumlah pencarum dengan simpanan bawah RM10,000 masih pada paras 51.5 peratus setakat akhir 2022. Situasi ini amat membimbangkan.

"Dianggarkan masa yang perlu diambil untuk paras simpanan kembali ke paras asal ialah antara tiga hingga lima tahun," katanya kepada BH dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Tahap simpanan menyusut

Nurhisham berkata, sebahagian besar ahli KWSP yang membuat pengeluaran khas adalah terdiri daripada Bumiputera iaitu 5.1 juta atau 76 peratus.

Katanya, tahap simpanan penengah (median) untuk Bumiputera juga menyusut daripada RM6,600 pada hujung 2021 kepada RM4,700 pada hujung 2022, yang mana jauh daripada sasaran RM240,000 untuk simpanan asas.

"Jumlah simpanan yang rendah itu berikutan pelaksanaan empat kemudahan pengeluaran berkaitan COVID-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas yang membabitkan pengeluaran keseluruhan berjumlah RM145 bilion.

"Ia juga berikutan paras gaji di negara ini yang masih rendah meskipun sudah mula mencatatkan peningkatan pada masa ini susulan pemulihan daripada tempoh pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata, kemudahan pengeluaran itu dibenarkan memandangkan situasi yang dihadapi ketika pandemik adalah sangat luar biasa dan belum pernah dialami sebelum ini.

Mengenai sama ada KWSP akan membenarkan lagi kemudahan pengeluaran selanjutnya bagi membantu ahli yang terus terkesan, Nurhisham berkata, pengurus dana persaraan itu akan membiarkan perkara berkenaan diputuskan kerajaan.

Baginya, berdasarkan keadaan semasa, terdapat kaedah lain yang boleh dilaksanakan untuk membantu golongan terkesan dan tiada keperluan kemudahan pengeluaran seumpama itu dilaksanakan lagi.

Berita Harian X