Selasa, 24 Januari 2023 | 1:01pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pengeluaran RM145 bilion, KWSP terlepas peluang pelaburan

SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan pengeluaran RM145 bilion oleh 8.1 juta ahlinya menerusi empat siri kemudahan pengeluaran ketika pandemik COVID-19 menyebabkan pengurus dana persaraan itu 'terlepas' peluang mengembangkan aktiviti pelaburannya.

Empat kemudahan pengeluaran KWSP yang dibenarkan kepada pencarum dalam tempoh pandemik ialah i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, berkata pengeluaran yang dilakukan bagi membantu pencarum mendepani situasi luar biasa dalam meringankan beban kewangan itu bagaimanapun tidak memberi kesan ketara terhadap portfolio pelaburan pengurus dana persaraan itu.

Nurhisham Hussein, Ketua Pegawai Strategi KWSP.
Nurhisham Hussein, Ketua Pegawai Strategi KWSP.

Ini kerana katanya, prestasi pelaburan KWSP dan pemberian dividen lebih dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku dalam pasaran global dan domestik, yang mana masih kekal mencabar dan tidak menentu.

"Impak pengeluaran berjumlah RM145 bilion yang dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun itu adalah terkawal.

"Jumlah itu hanya mewakili 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset di bawah pengurusan KWSP yang kini mencecah RM1 trilion, yang mana masih dianggap jumlah yang kecil.

"Kami hanya kehilangan peluang melabur dengan pengeluaran sebanyak RM145 bilion. Ia tidak menjejaskan prestasi kami. Prestasi pelaburan kami dipengaruhi oleh perkembangan pasaran," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bagi mengulas sama ada pengeluaran bersifat luar biasa seperti i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas berikutan pandemik COVID-19 menjejaskan prestasi pelaburannya.

Beberapa pihak sebelum ini mendesak kerajaan agar membenarkan pengeluaran simpanan KWSP antara RM10,000 hingga RM30,000 secara 'one-off' bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Pertimbang nasib pencarum

Bagaimanapun, minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan nasib dan masa depan pencarum sebelum membenarkan pengeluaran sekali lagi simpanan daripada KWSP.

Menurut Perdana Menteri, adalah lebih baik kerajaan mencari jalan dan kaedah lain yang lebih berkesan dalam membantu rakyat yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan sebelum ini.

Jelasnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati simpanan golongan terjejas dalam KWSP adalah terlalu rendah dan ia boleh menyebabkan lebih banyak masalah kepada mereka selepas ini.

KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, merosot 18 peratus atau RM8.71 bilion, berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2021.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 adalah berjumlah RM12.32 bilion, merosot RM1.65 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.97 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.

Namun begitu, ia mewakili peningkatan 11 peratus berbanding suku kedua 2022.

Bagi 2021, Lembaga KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk Simpanan Konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM50.45 bilion, sementara 5.65 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan RM6.27 bilion, menjadikan jumlah agihan terkumpul untuk 2021 sebanyak RM56.72 bilion.

Nurhisham juga menjelaskan, bagi tahun ini KWSP akan mempergiatkan lagi usaha membina simpanan dan menambahkan liputan mereka yang mencarum dengan KWSP.

Beliau menjelaskan, usaha itu penting untuk menjamin pendapatan persaraan ke arah kehidupan yang bermaruah dalam tempoh persaraan ahli.

"Sangat penting bagi memastikan seramai mungkin orang membuat caruman. Strategi kami adalah menggandakan liputan. Ia bukan sebab pelaburan tetapi bagi memastikan orang ramai mempunyai simpanan persaraan," katanya.

Bagi mencapai sasaran perlindungan melebihi 60 peratus tenaga buruh yang aktif menjelang 2025, KWSP mempergiatkan program 'outreach' dan libat urus dengan pihak berkepentingan secara proaktif, disokong oleh teknologi digital yang membolehkan ahli mengakses lebih banyak perkhidmatan KWSP seperti pendaftaran dan pengaktifan i-Akaun, i-Saraan dan Simpanan Shariah.

Berita Harian X