BAYAN LEPAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat untuk menerima perbezaan agama dan kaum demi membina kekuatan penyatuan.
Menegaskan Malaysia akan mencapai kejayaan jika rakyat bersatu padu dan menolak semua jenis prasangka perkauman, Perdana Menteri berkata, persaingan atas kepentingan kaum dan agama hanya akan menanam rasa kebencian dalam kalangan masyarakat.
Katanya, gagasan 'Masyarakat MADANI' yang diterapkan oleh Kerajaan Persekutuan diterajuinya tidak akan bermakna jika masih ada persaingan dan kefahaman sempit membabitkan agama dan bangsa dalam kalangan rakyat.
"Slogan Masyarakat MADANI menuntut keyakinan kita sebagai rakyat. Semua agama ada kepercayaan mereka, tetapi untuk hidup dalam masyarakat mesti faham kemanusiaan dan kemanusiaan itu tiada makna jika tiada kasih sayang antara kita.
"Bila ada persaingan kaum dan agama yang sempit, maka yang ditanam itu adalah kebencian. Kita perlu terima perbezaan kita sebagai satu kekuatan," katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dianjurkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, selain isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar menambah, tiada sesiapa pun yang meminta dilahirkan sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak, sebaliknya ia adalah takdir Allah SWT yang mesti diterima dan diraikan.
Perdana Menteri juga mengajak rakyat menanam keberanian untuk menolak fahaman perkauman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Andai wujud semangat perpaduan utuh dalam kalangan rakyat untuk menolak gejala buruk berkenaan, beliau yakin Malaysia akan dapat mencapai kemajuan dalam masa singkat yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Anwar menegaskan, Malaysia berpotensi untuk diangkat sebagai negara maju di rantau ini dengan syarat amalan merompak kekayaan negara melalui gejala rasuah dihentikan sama sekali.
Serentak itu, Perdana Menteri mengingatkan pemimpin politik, penjawat awam peringkat tertinggi atau badan-badan penguatkuasaan bahawa mereka mesti dan wajib menghentikan amalan berkenaan.
"Saya tidak akan tolak ansur lagi dengan sikap orang yang menggunakan kontrak atau projek untuk mendapat atau mengambil kesempatan mencari kekayaan yang bukan hak mereka," katanya.
Mengenai amalan 'komisen' dan 'sedekah' dalam pilihan raya, Anwar berkata, amalan itu jelas boleh merugikan negara dan masyarakat.
"Sedekah untuk amal jariah itu okey, tetapi sedekah untuk undi pada pilihan raya itu adalah korupsi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memusatkan pembangunan ekonomi negeri seiring keadilan sosial dengan mengambil kira golongan miskin bandar dan B40.
"Sebab itu, seperti yang saya tekankan sebelum ini, pengagihan kekayaan perlu seimbang dan kita perlu melakukan lebih lagi untuk rakyat bawahan serta komuniti B40. Hanya dengan cara itu, pembangunan akan menjadi lebih seimbang dan adil. Ini yang dilakukan sekian lama di Pulau Pinang," katanya.
Katanya lagi, pembangunan yang adil dan seimbang untuk semua lapisan rakyat tidak boleh dicapai jika ekonomi negara gagal dipacu untuk mencipta lebih banyak kejayaan.
Pada masa sama, beliau berkata, kemajuan negara dan ekonomi akan turut berdepan kegagalan jika negara tidak serius dalam mengubah sistem yang mengamalkan rasuah dan menggelapkan wang.
Terdahulu, Anwar melahirkan rasa gembira kembali ke Pulau Pinang dalam kunjungan pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.