Khamis, 19 Januari 2023 | 5:33pm
Ahmad Zahid diiringi Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria beramah mesra dengan kakitangan FELCRA ketika majlis Taklimat Felcra Berhad di Wisma Felcra, Kuala Lumpur. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ahmad Zahid diiringi Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria beramah mesra dengan kakitangan FELCRA ketika majlis Taklimat Felcra Berhad di Wisma Felcra, Kuala Lumpur. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KKDW bertindak terhadap dapatan Ketua Audit Negara

Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengambil langkah segera terhadap dapatan Laporan Ketua Audit Negara 2021 dengan memfokuskan kepada ketirisan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jemaah Menteri sudah meneliti perkara itu dan mendapati tidak banyak ketirisan yang berlaku, namun pengurusan tertinggi kementerian tetap diminta memberi tumpuan segera, khususnya terhadap perkara membabitkan aspek kewangan dan pengurusan.

"Tidak banyak ketirisan yang berlaku, Jemaah Menteri sudah teliti dan saya memberitahu mesyuarat pengurusan tertinggi KKDW bahawa kita mesti mengambil langkah segera untuk mengatasi dapatan audit yang memfokuskan kepada beberapa perkara antaranya ketirisan dan penyelewengan.

"Ia mesti diberikan tumpuan segera oleh pengurusan tertinggi dan pegawai," katanya pada sidang media selepas Taklimat FELCRA bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa semua menteri mesti meneliti setiap teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021, terutama membabitkan perkara berulang yang tidak ditangani.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pelantikan Pengerusi FELCRA, Ahmad Zahid berkata, ia akan diselaraskan dengan pelantikan pengerusi semua agensi lain.

Pada 16 Disember lepas, Ahmad Zahid memaklumkan pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi FELCRA selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Bhd.

Namun Perdana Menteri kemudiannya mengumumkan pelantikan semula itu ditangguhkan.

Berita Harian X