Selasa, 10 Januari 2023 | 11:26am
Dua mangsa berkongsi pengalaman buruk pinjam daripada syarikat Kredit Komuniti.
Dua mangsa berkongsi pengalaman buruk pinjam daripada syarikat Kredit Komuniti.

Terjerat helah pinjam RM16,000, kena bayar RM50,000

KUALA LUMPUR: Pinjam hanya RM16,000, tetapi perlu bayar RM50,000. Itu nasib seorang bapa dua anak apabila membuat pinjaman dengan seorang lelaki mendakwa ejen sebuah syarikat Kredit Komuniti beribu pejabat di Shah Alam, Selangor pada 2020.

Dia mengalami masalah kewangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan COVID-19 ketika itu.

Kata pekerja syarikat swasta yang hanya mahu dikenali dengan nama Amy, 33, ejen berkenaan menunjukkan bukti syarikat Kredit Komuniti diwakilinya berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang kini dikenali Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Saya diberitahu mengenai syarikat Kredit Komuniti itu oleh rakan lalu memulakan urusan sebelum ejen terbabit membawa dokumen perjanjian pinjaman bertarikh 31 Januari 2020 yang ditandatangani saya di dalam keretanya, tapi salinan perjanjian tidak diberikan kepada saya.

"Saya meminjam RM14,000, tiada tempoh bayaran balik ditetapkan. Potongan pertama dibuat pada 20 Februari 2020. Bayaran balik bulanan keseluruhannya RM900, tetapi bayar pinjaman pokok hanya RM200, bakinya bayaran 'bunga' atau faedah saja.

"Mereka memegang kad ATM bagi akaun bayaran gaji saya untuk ambil RM900 itu. Saya diminta buka akaun bank baharu untuk dimasukkan duit baki gaji selepas potongan bayaran balik pinjaman dibuat," katanya yang berpendapatan kasar bulanan kira-kira RM2,000.

Amy yang berasal dari Alor Setar, Kedah, berkata kegembiraan memperoleh wang dalam tempoh hanya sejam selepas perjanjian ditandatangani, berubah menjadi mimpi negeri apabila gaji bulanan yang diperoleh tidak pernah cukup untuk menampung kehidupannya bersama isteri dan dua anak mereka.

Syarikat kredit kawal kewangan, pegang kad ATM peminjam

Berikutan itu, katanya, dia membuat pinjaman susulan RM2,000 kerana baki gaji selepas membayar balik pinjaman awal tidak mencukupi untuk menampung komitmen kewangan lain, namun tidak menyangka menjadi mangsa manipulasi.

"Dalam tempoh bayaran balik pinjaman, seluruh kewangan saya dikawal pihak syarikat Kredit Komuniti terbabit. Sejak bayaran balik pinjaman kali pertama pada Februari 2020, saya sudah bayar kira-kira RM19,000, namun diberitahu masih berhutang," katanya.

Tidak tahan dengan bebanan kewangan ditanggung, Amy berkata, dia memutuskan menyekat penggunaan kad ATM miliknya yang dipegang syarikat terbabit pada bulan lalu dan meminta bantuan pihak ketiga mewakilinya berunding semula dengan syarikat Kredit Komuniti berkenaan.

Namun, katanya, tindakan itu menyebabkan dia menerima ugutan daripada ejen syarikat terbabit, malah gambarnya bersama isteri juga disebarkan berserta kenyataan memburuk-burukkan mereka dengan dakwaan cuba lari daripada membayar hutang.

"Selepas penggunaan kad ATM itu disekat, saya diminta oleh ejen syarikat itu melalui WhatsApp untuk buat bayaran bulanan RM1,300 pula selama dua tahun jika ingin menyelesaikan semua baki pinjaman.

"Jika dikira semuanya, saya perlu bayar keseluruhan RM50,200 untuk pinjaman RM14,000 dan tambahan RM2,000 dalam tempoh lima tahun sejak 2020," katanya mengakui betul-betul serik untuk membuat pinjaman menggunakan kaedah berkenaan.

Seorang lagi peminjam yang hanya mahu dikenali sebagai Azhari, 58, pula mendakwa ditawarkan pinjaman dengan faedah lebih rendah, iaitu tiga peratus sebulan oleh ejen sebuah syarikat Kredit Komuniti, namun selepas diluluskan, kadar faedah menjadi jauh lebih tinggi.

Katanya, dia terpaksa membayar lebih dua kali ganda daripada jumlah asal pinjaman dengan kadar faedah kira-kira tujuh peratus sebulan.

"Saya pinjam kira-kira enam bulan lalu, RM37,000 untuk bayar hutang terdahulu. Setakat bulan lalu, saya sudah bayar lebih RM12,000 secara ansuran, tapi terkejut apabila diberitahu oleh ejen syarikat itu bahawa pinjaman masih berbaki RM50,000," katanya.

Azhari yang turut tidak menerima salinan dokumen perjanjian pinjaman dibuatnya, mendakwa selepas tidak tahan dengan bayaran bulanan yang tinggi itu, dia nekad berhenti membuat pembayaran, namun ejen syarikat terbabit datang ke rumah untuk menuntut hutang.

"Mereka pegang kad ATM saya dan ambil RM2,200 sebulan. Bila saya sekat kad ATM, wakil syarikat itu datang ke rumah," katanya yang berasal dari Shah Alam dan memperoleh gaji bulanan tidak sampai RM3,000.

Berita Harian X