Ahad, 8 Januari 2023 | 4:35pm
Gejala rasuah di negara ini didakwa terus berleluasa disebabkan ‘jerung’ swasta yang menjejaskan usaha memerangi isu itu. - Foto hiasan
Gejala rasuah di negara ini didakwa terus berleluasa disebabkan ‘jerung’ swasta yang menjejaskan usaha memerangi isu itu. - Foto hiasan

'Jerung' swasta gagalkan usaha perangi rasuah

KUALA LUMPUR: Usaha membanteras rasuah secara besar-besar tidak seharusnya terhad dalam pentadbiran kerajaan sahaja kerana lebih banyak 'jerung' dikesan berkeliaran dalam sektor swasta dan menjadi punca gejala rasuah tidak berkesudahan di negara ini.

Lebih memburukkan keadaan apabila 'jerung' swasta ini dikesan rapat dengan individu tertentu seperti ahli politik, yang kemudiannya memberi tekanan kepada penjawat awam, sekali gus menjejaskan usaha memerangi rasuah.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Borhan Dolah, berkata 'jerung' dalam sektor swasta sebenarnya lebih besar dan ramai, malah begitu berani menggugat penjawat awam yang cuba menghalang atau tidak bekerjasama dengan mereka.

Beliau berkata, ramai melihat lubuk rasuah berlaku dalam pentadbiran kerajaan menyebabkan penguatkuasaan dan tindakan yang lebih tertumpu di situ.

"Kegiatan rasuah dalam sektor swasta dilihat sangat biasa kerana ramai yang tidak menganggap perbuatan itu sebagai rasuah. Contohnya, tajaan melancong atau hadiah. Orang lihat ia rasuah jika ia berlaku kepada kumpulan kerajaan tetapi tidak jika membabitkan sektor swasta.

"'Jerung' sektor swasta ini banyak menjejaskan pentadbiran kerajaan apabila mereka ini dikesan rapat dengan orang tertentu seperti ahli politik, yang kemudiannya memberi tekanan kepada penjawat awam.

"Dalam sektor kerajaan juga, tidak semua bersih tetapi ada yang terjerat disebabkan tekanan oleh mereka yang bersubahat dengan 'jerung' ini. Malah, 'jerung' ini juga berkawan dengan 'jerung' lain, yang akhirnya akan memberi kesan kepada pegawai kerajaan itu sendiri," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin, yang berkata pembanterasan rasuah dalam pentadbirannya akan turut membabitkan 'jerung'.

Perdana Menteri menolak andaian tindakan membanteras rasuah hanya bertumpu kepada 'ikan bilis' kerana menyifatkan sudah ada 'jerung' yang dikenakan tindakan.

Perdana Menteri juga menyerahkan kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja.

Borhan, yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, 'jerung' tidak seharusnya terlepas daripada tindakan undang-undang walaupun mereka bekerjasama untuk menjadi saksi penting bagi menjerat penjawat awam yang terbabit rasuah.

"'Jerung' itu adalah akar umbi rasuah dan sekiranya ia tidak dihapuskan, rasuah akan muncul semula kerana yang dipotong adalah ranting-ranting sahaja.

"Sebagai contoh, SPRM sendiri pernah menahan puluhan penguatkuasa di sebuah negeri dengan menjadikan seorang Datuk Seri sebagai saksi utama. Datuk Seri itulah memberi rasuah, namun tidak dikenakan tindakan undang-undang disebabkan kerjasamanya dengan SPRM," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata kenyataan Anwar itu adalah 'lampu hijau' untuk SPRM mengambil tindakan tanpa mengikut telunjuk politik.

"Ia adalah peluang terbaik untuk SPRM membuktikan kepada semua bahawa mereka adalah satu badan yang bebas dan boleh mengambil tindakan tanpa kawalan politik.

"Ia juga adalah 'lampu hijau' yang jelas kepada SPRM untuk mengambil tindakan tanpa mengira status 'jerung' atau 'bilis' mahupun kenamaan politik," katanya.

Berita Harian X