Ahad, 4 Disember 2022 | 6:40pm
Fahmi Fadzil (kanan) menggesa PDRM dan SPR menyiasat Muhammad Sanusi berhubung kenyataan yang dipercayai ada kaitan dengan politik wang. - Foto NSTP
Fahmi Fadzil (kanan) menggesa PDRM dan SPR menyiasat Muhammad Sanusi berhubung kenyataan yang dipercayai ada kaitan dengan politik wang. - Foto NSTP

Fahmi gesa polis, SPR siasat Sanusi

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan yang dipercayai ada kaitan dengan politik wang.

Fahmi berkata, kenyataan Muhammad Sanusi dalam ceramahnya di Parlimen Padang Serai malam kelmarin, seolah-olah memberi bayangan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diberi ganjaran atas undi mereka.

"(Ia dalam bentuk) duit ya, RM50 atau RM100 dan sebagainya, sama ada ia cuba diselindungi sebagai dana untuk balik (mengundi) tapi ia berulang dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai.

"Saya percaya kenyataan beliau ini sangat bahaya, wajar disiasat oleh PDRM dan SPR kerana yang saya risaukan adalah politik wang, semakin menjadi-jadi dan seolah-oleh dihalalkan dengan terma atau takrif.

"Tapi kita tahu sebenarnya ia adalah bentuk sogokan supaya pengundi memilih satu-satu parti, jadi saya mohon pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera menyiasat kenyataan beliau," kata beliau melalui video di Twitternya, hari ini.

Ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perikatan Nasional (PN) Padang Serai, malam kelmarin, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah dilaporkan kecewa dengan sikap segelintir penyokong parti PN yang menuntut balasan kerana pulang mengundi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu, berkata perbuatan itu amat memalukan kerana penyokong parti lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminta duit walaupun pulang dari luar negara.

Berita Harian X