Jumaat, 2 Disember 2022 | 12:22pm

Gubal Akta Perkhidmatan Awam bolehkan khidmat lebih cekap

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menggubal segera Akta Perkhidmatan Awam bagi mengawal campur tangan politik dalam urusan pentadbiran kerajaan, di samping membolehkan penjawat awam mampu berkhidmat dengan lebih cekap.

Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata cadangan penggubalan akta berkenaan pernah dibangkitkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, namun ia gagal direalisasikan.

"Setakat ini, kita belum ada akta perkhidmatan awam. Sebenarnya, kerajaan dilantik selepas PRU14 ada menyebut untuk menggubal akta perkhidmatan awam. Tapi, itu tak berlaku selepas pertukaran kerajaan dalam waktu singkat. Akta itu tidak diteruskan.

"Jadi, kita minta kerajaan yang baharu supaya menggubal Akta Perkhidmatan Awam ini untuk kebaikan perkhidmatan awam serta kebaikan pengurusan dan pentadbiran negara kita," katanya.

Perkhidmatan profesional

Beliau berkata, akta itu menggariskan tugas dan tanggungjawab perkhidmatan awam serta anggota pentadbiran, iaitu orang politik.

"Jadi, dengan itu, tidak timbul dari segi pertelagahan bidang tugas. Kalau itu diikuti sepenuhnya, tidak ada campur tangan politik dalam pengurusan awam. Perkhidmatan awam ini adalah satu perkhidmatan profesional.

"Mereka menjalankan tugas, melaksana dasar kerajaan tanpa pilih kasih, tanpa memihak kepada mana-mana parti politik. Jika ini dapat dipastikan, pengurusan pentadbiran kerajaan dapat berjalan dengan baik. Ada ketelusan dan akauntabiliti dan tiada ketirisan," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, isu ketirisan membabitkan kewangan kerajaan hanya terbongkar apabila kes itu dibawa ke mahkamah.

"Dalam perbicaraan itu, terkeluarlah bukti mengenai campur tangan politik dan kalau pegawai kerajaan dibenar menjalankan tugas tanpa campur tangan politik, masalah yang timbul itu tidak akan berlaku.

"Contohnya, pembayaran yang dibuat tanpa projek itu berjalan atau sudah siap. Atau pun projek siap hanya 10 peratus, tapi bayaran sudah dibuat 50 peratus. Semua ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau juga berkata, pegawai kerajaan perlu tegas dalam melaksanakan tugas dan jangan mudah tunduk dengan desakan, terutama berkaitan arahan yang bertentangan dengan peraturan.

"Pegawai mesti ada prinsip integriti dan amanah, memegangnya selagi mereka menunaikan tanggungjawab tugasnya.

"Masalahnya, ada pegawai, dia rasa tertekan atau seolah-olah terpaksa mengikuti arahan orang politik, mereka juga kadang-kadang bersekongkol atau bersetuju dengan mereka. Dari situ, timbullah rasuah dan sebagainya.

"Contohnya, mereka dijanjikan, kalau projek itu diberikan kepada syarikat tertentu, mereka akan mendapat imbuhan, ini rasuah. Ini sepatutnya tidak berlaku tapi kesimpulannya ia masih berlaku. Sebab itu, tekanan atau apa-apa jenis bentuk paksaan oleh mana-mana pihak tidak boleh dibenarkan sama sekali," katanya.

Berita Harian X