Rabu, 30 November 2022 | 2:10pm
Gambar hiasan - Perhimpunan Agung UMNO
Gambar hiasan - Perhimpunan Agung UMNO

Sanggup jual maruah parti demi kekal berkuasa

KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dianggap menjual maruah parti itu demi kekal berkuasa.

Ahli Majlis Pimpinan Tinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata walaupun sebelum ini BN khususnya UMNO melaungkan 'No PKR, No DAP, No Bersatu', tetapi kini demi kekal kuasa politik, parti itu mengetepikan prinsip tersebut.

Dalam ceramah di Rompin malam tadi, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, berkata walaupun menyedari bahawa apa yang dilakukan Ahmad Zahid itu adalah strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau tetap beranggapan tindakan BN itu seolah-olah langsung tidak berpegang kepada prinsip dan nilai dalam sebuah perjuangan.

"Pilihan raya umum kali ini benar-benar pelik, banyak perkara tidak disangka berlaku. Ini pun tak pernah berlaku, ada orang berkempen dalam pilihan raya maki orang bagai nak rak, lepas pilihan raya pergi peluk orang itu bagai nak rak. Tak ada dalam pilihan raya.

"Tak ada dalam pilihan raya seorang pemimpin seperti Zahid yang laungkan 'No Anwar, No DAP itu untuk pilihan raya saja, lepas pilihan raya lain.

"Jadi kalaulah sebelum pilihan raya macam itu, selepas pilihan raya macam lain. Jadi esok dia cakap macam itu, lusa dia cakap lain lah agaknya. Sebelum dilantik dalam Kabinet lain, lepas dilantik lain.

"Ada orang cakap dengan saya, dia kata ini soal strategi, betul saya faham soal strategi tapi kalau pun strategi, kita dalam Perikatan Nasional (PN) takkan sanggup sampai menjual maruah semurah itu, kita tak sanggup buat sebab itu bila kita kata tiada PH, memang tiada PH. Bila kita kata tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH, kita tak kerjasama dengan PH," katanya.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Sehubungan itu, Saifuddin menegaskan, PN kekal berpegang kepada pendirian parti dan sanggup jadi pembangkang yang bermaruah daripada mengemis kuasa bersama dengan PH.

"Itu baru perjuangan, kalau hari ini maki PH, biarlah kita ni berpegang kepada sesuatu prinsip dan nilai.

"Jangan kita terlalu mudah demi untuk jadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, demi untuk jadi exco, maka kita boleh jual maruah kita dengan semurah dan semudah itu. Kita ada ada prinsip dan kita ada nilai," kata bekas Menteri Luar Negeri itu lagi.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, berkata prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah hanya untuk berdepan PRU15, dan bukannya selepas pilihan raya umum itu.

"Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama 'lidi seikat' ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam," katanya menerusi hantaran di laman facebook miliknya.

Ahmad Zahid mendakwa, apa yang berlaku dalam arena politik negara hari ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

Berita Harian X