KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya tata kelola pentadbiran kerajaan baharu tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.
"Soal perolehan, soal kelulusan tanpa tender ini tidak boleh lagi terus dengan mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah. Ini tidak boleh lagi dan harus berlaku di semua peringkat.
"Maka untuk peringkat awal ini, saya ingin menggesa dan mengajak saudara (penjawat awam) untuk sama-sama dalam pasukan ini," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan di Dataran Perdana Putra di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, setiap penjawat awam perlu bersiap sedia untuk menghadapi masa depan termasuk melihat apa yang boleh dan tidak boleh lagi dilakukan.
Beliau berkata, perubahan berkenaan seharusnya berlaku di setiap peringkat dalam perkhidmatan awam.
"Soal peraturan, perolehan, soal kelulusan tanpa tender, ini semua. Tidak boleh lagi negara ini terus dengan mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah.
"Maka untuk peringkat awal ini, saya ingin menyeru mengajak saudara untuk sama-sama dalam pasukan. Mari kita bertekad untuk menyelamatkan negara kita," katanya.
Anwar juga berkata, ketika ini, biarpun kehidupan rakyat di negara ini tidak separah yang berlaku di beberapa negara, namun, kebanyakan mereka masih berada dalam kesukaran.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak menghiraukan fitnah sesetengah pihak yang mengaitkannya sebagai ejen Amerika Syarikat (AS), Israel mahupun Turkiye, sebaliknya beliau mahu pentadbirannya memberi tumpuan kepada perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
"Pengalaman saya di kementerian-kementerian sebelum ini dan saya tahu tidak mungkin kita mencapai apa-apa tanpa komitmen," katanya.
Terdahulu, Anwar berkata, biarpun pentadbiran negara serta Perdana Menteri bersilih ganti, namun penjawat awam sebagai tunggak mentadbir mengurus kekal dengan tujuan mengangkat satu sistem dengan peraturan negara yang dibina dengan undang-undang.