Isnin, 28 November 2022 | 2:31pm
Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. Gambar kecil, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. Gambar kecil, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

'Abdul Hadi menderhaka' - Raja Kamarul Bahrin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menyiasat segera kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang disifatkan berbaur hasutan serta menghina institusi Raja-Raja Melayu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmadc, mendakwa penulisan Abdul Hadi secara terbuka kelihatan derhaka apabila menuduh pihak Istana tidak berlaku adil dan seolah-olah membelakangkan undang-undang.

"Seterusnya (kenyataan Abdul Hadi) mencabar tindakan pihak Istana. Bukankah Islam menuntut kita menghormati dan taat serta tidak derhaka pada Ulil Amri sebagai ketua negara?

"Pihak berkuasa digesa segera menyiasat kenyataan Abdul Hadi mengikut Akta Hasutan kerana menghina institusi Raja-Raja Melayu," katanya.

Raja Kamarul percaya sindiran Abdul Hadi yang dikecam ramai netizen adalah merujuk kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilantik Yang di-Pertuan Agong dengan perkenan Majlis Raja Raja Melayu.

Mengulas lanjut katanya, jika Abdul Hadi tidak berpuas hati, sepatutnya boleh mengambil tindakan undang-undang melalui mahkamah dan bukan menghina kuasa dan tindakan Istana secara terbuka dan tidak beradab.

"Ketika pihak Istana sedang cuba membentuk kerajaan stabil selepas 32 bulan sebelum ini negara derita memiliki kerajaan tidak stabil. Bukankah pemimpin Melayu sepatutnya berlaku tertib beradab serta bersopan apabila menerima cadangan raja untuk kebajikan rakyat.

"Bukankah seorang ulama seperti Abdul Hadi perlu menunjuk contoh akhlak yang baik terhadap raja dan bukan mencemuh raja sendiri dengan penulisan penghinaan terbuka terdedah pada awam," katanya.

Beliau berkata, Raja-Raja Melayu sedang berusaha untuk menyelamatkan negara dari ketidakstabilan politik dan masalah ekonomi yang meruncing hasil kegagalan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Raja-Raja Melayu sudah berusaha untuk menstabilkan ekonomi tinggalan kerajaan gagal sebelum ini, yang bertukar Perdana Menteri tiga kali dalam 32 bulan dimana rakyat menderita.

"Pihak tertentu pula yang tidak mampu mentadbir dengan baik memilih untuk berlaku tiada beradab terhadap raja demi nafsu rakus untuk terus berkuasa," katanya.

Pagi tadi BH melaporkan, heboh di media sosial Abdul Hadi terus mempertikaikan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ini kerana beliau dikatakan menyindir keputusan pihak Istana Negara apabila mengaitkan pelantikan itu dengan masa kecederaan dalam perlawanan bola sepak.

Berita Harian X