Jumaat, 25 November 2022 | 11:06pm
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Kerajaan Perlis harap tidak dipinggirkan kerajaan perpaduan

KANGAR: Kerajaan Perlis berharap kerajaan Pusat tidak meminggirkan negeri itu terutama dalam soal pembangunan, walaupun Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di peringkat Pusat.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata kerajaan Pusat adalah kerajaan perpaduan, bermakna perpaduan itu hendaklah bersama dengan semua negeri, termasuk Perlis.

"Perpaduan ini mestilah membabitkan semua dan tidak hanya di peringkat Pusat, di negeri juga perlu juga diberikan perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata demikian ketika ditanya mengenai perjalanan kerajaan Perlis selepas PN bertindak untuk menolak bersama kerajaan perpaduan menjadikan gabungan itu sebagai wakil pembangkang di Parlimen.

Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Kami mengirim ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman sosial Facebook.

"Diharapkan beliau mampu menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sebaik mungkin dalam membawa amanah rakyat bersama," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu lalu, PN Perlis berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN, selain 'menyapu bersih' tiga kerusi Parlimen di Padang Besar, Kangar dan Arau.

Kejayaan gemilang PN itu sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Perlis selama 65 tahun.

Berita Harian X