KANGAR: Langkah penjimatan dilaksanakan kerajaan Perlis yang baharu menyaksikan pengecilan barisan EXCO dengan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memegang 33 portfolio.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, berkata pengecilan itu bertujuan meningkatkan prestasi kerja bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Perlis.
"Mesyuarat pertama EXCO akan berlangsung 29 November ini namun lokasinya belum ditentukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Menteri Besar Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Mohd Shukri berkata jumlah EXCO kurang berbanding ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) membabitkan sembilan ADUN.
Terdahulu enam ADUN Perlis hari ini mengangkat sumpah jawatan EXCO di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada empat ADUN PAS dan dua daripada BERSATU yang telah diperkenan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.
Kesemua mereka kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Kangar Dr Arik Sanusi Yeop Johari dan Ketua Hakim Syarie Perlis Jaidi Ahmad.
Pada Selasa, Mohd Shukri mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis selepas Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan di negeri ini setelah memenangi 14 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mohd Shukri berkata, PN akan cuba melaksanakan segala janji yang terkandung di dalam manifesto mereka dengan sebaik mungkin demi kebaikan rakyat negeri ini.
"Jangan harapkan 'bulan dan bintang' kerana kami pun masih baru.
"Namun, apa yang kami janji akan cuba ditunaikan sedaya upaya demi memuaskan hati seluruh rakyat," katanya.