Jumaat, 25 November 2022 | 2:48pm

Anwar belum putuskan pegang portfolio Kewangan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan memegang portfolio Menteri Kewangan untuk mengecilkan saiz Kabinet di bawah pentadbirannya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri perlu meneliti segala kemungkinan dalam mempertimbang dan memutuskan pelantikan anggota Kabinet.

"Kami akan meneliti semua kemungkinan, namun setakat ini saya belum mempertimbangkan (memegang jawatan Menteri Kewangan)," katanya kepada pemberita di pekarangan Masjid Putra di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan memegang jawatan Menteri Kewangan bagi mengecilkan saiz Kabinet.

Ditanya mengenai hari pertamanya sebagai Perdana Menteri ke-10, Anwar mengakui sibuk dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan, meskipun baru beberapa jam bertugas secara rasmi.

"Bagus, sibuk dan dibebani dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan," katanya.

Sebelum ini, beliau memaklumkan kerajaan perpaduan pimpinannya disertai oleh tiga gabungan utama itu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Selain itu, ia turut disertai beberapa gabungan dan parti lain iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.

Beliau turut mengesahkan akan mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri, dengan kedua-duanya bakal diisi oleh wakil daripada BN dan GPS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersalaman bersama orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersalaman bersama orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Berita Harian X