PERDANA Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengadakan sidang media pertama selepas mengangkat sumpah jawatan berkenaan jam 5 petang.
Ini adalah antara inti pati sidang media berkenaan yang diadakan di Sungai Long Golf and Country Club di Kajang.
* Komited mempertahankan Perlembagaan: Bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan kaum Melayu tanpa meminggirkan hak kaum Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
* Pemerintahan dibentuk dengan dukungan padu dan mantap dari tiga gabungan terbesar iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.
* Kerajaan akan menjamin dan menjaga hak semua rakyat Malaysia khususnya golongan yang terpinggir dan melarat tanpa kira bangsa dan agama.
* Fokus nombor satu saat ini adalah agenda pengukuhan ekonomi.
* Melawan rasuah dan penyelewengan secara serius dan habis-habisan dengan menggerakkan agenda reformasi tatakelola ('governance') pemerintahan.
* Usul Undi Percaya akan menjadi agenda pertama sewaktu Sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
* Tetap menolak untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri.
* Isnin, 28 November 2022 ini adalah cuti umum di seluruh negara.