Khamis, 24 November 2022 | 10:02pm

Cadangan lantik anggota Kabinet bebas kes mahkamah akan dibincang

KAJANG: Cadangan untuk tidak melantik Ahli Parlimen yang didakwa di mahkamah sebagai anggota Kabinet, akan dibincangkan secara terperinci dengan parti yang menyertai kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam isu itu adalah jelas, iaitu tidak melantik mana-mana Ahli Parlimen yang didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan pentadbiran yang dibentuk ketika ini adalah kerajaan perpaduan, beliau perlu berbincang perkara itu terlebih dahulu dengan parti gabungan yang lain.

"Itu ada dibangkitkan. Kalau dalam kalangan PH, pendirian kita jelas. Tapi, oleh kerana ia babitkan isu kerajaan perpaduan, kita perlu berbincang (dengan parti gabungan).

"Yang membezakan adalah apabila hukuman dijatuhkan. Apabila ada pendakwaan, jika ikut pendirian PH, sukar untuk kita teruskan (dilantik sebagai anggota Kabinet).

"Tapi, bagi saya ruang untuk berbincang dengan parti dalam kerajaan perpaduan ini secara terperinci," katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pelaksanaan manifesto yang berbeza dalam kalangan gabungan dalam pentadbirannya, Anwar memaklumkan akan memberi tumpuan pada beberapa isu utama dibangkitkan semua gabungan dalam manifesto masing-masing.

"Ada beberapa isu teras yang kita tidak boleh kompromi, iaitu tadbir urus baik, usaha antirasuah, kebebasan kehakiman dan lebih penting, kebajikan rakyat biasa, termasuk isu kos sara hidup yang akan diuruskan secepat mungkin.

"Tidak banyak perbezaan (dalam isu teras). Ada niat yang baik (dalam semua manifesto), namun cabarannya adalah mengenai komitmen untuk melaksanakannya, seperti rasuah yang menjadi endemik dan bagaimana mengambil tindakan berkesan untuk menghentikannya," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
Berita Harian X