Khamis, 24 November 2022 | 1:16pm
 Keadaan di Istana Negara. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Keadaan di Istana Negara. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Menanti keputusan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR: Tumpuan hari ini terarah kepada Istana Negara yang baru selesai mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan

Semua Raja-Raja Melayu kecuali Sultan Kelantan, hadir ke Istana Negara bagi menghadiri pertemuan itu hari ini dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, terakhir tiba di Pintu Utama Istana Negara, pada jam 10.58 pagi.

Perlis diwakili Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Difahamkan perbincangan khas itu berlangsung sekitar satu jam bermula jam 11 pagi apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir yang terawal meninggalkan Istana Negara, jam 11.58 pagi.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah susulan daripada sesi menghadap oleh ketua parti politik gabungan yang diadakan semalam, sebelum Yang di-Pertuan Agong menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.

Semalam, tiga pimpinan Barisan Nasional (BN), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul menghadap Al-Sultan Abdullah selepas dititah berbuat demikian, sehari sebelumnya.

Sebelum itu Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda selepas bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Selasa.

Ahmad Zahid yang ditemui media selepas sesi menghadap itu menyatakan baginda menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Pengerusi BN itu memaklumkan, beliau bersama dua pemimpin tertinggi gabungan berkenaan menerima titah demikian,

Semalam juga, buat julung kali selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu, pemimpin BN dan Perikatan Nasional bertemu dipercayai bagi merungkai kemelut politik negara yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

Pertemuan di Hotel St Regis di ibu negara pada sebelah petang itu dipercayai bagi membincangkan kerjasama membentuk kerajaan Persekutuan sekali gus memilih Perdana Menteri ke-10.

Susulan pertemuan itu, di sebelah malam kepemimpinan tiga parti komponen BN, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengemukakan ketetapan undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN

Usul berkenaan dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup menerusi sepucuk surat yang mana undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid itu dibuat susulan tindakannya yang didakwa mengkhianati keputusan dicapai menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pada Selasa.

Mesyuarat berkenaan menetapkan pendirian BN yang berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun tengah malam tadi, UMNO memuktamadkan keputusan menyokong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, tetapi bukan yang diterajui oleh PN.

Usaha membentuk Kerajaan Persekutuan pasca PRU15 bermula pada Ahad lalu, apabila Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menulis surat kepada ketua parti yang memenangi banyak kerusi pada pengundian 19 November lalu.

Menerusi surat itu, semua ketua parti dijemput mengemukakan cadangan kepada Istana Negara untuk membentuk kerajaan gabungan dan menamakan calon masing-masing sebagai Perdana Menteri dengan tempoh diberikan sehingga 2 petang pada Isnin lalu.

Pada hari sama juga, Azhar Azizan kemudian menghantar sepucuk lagi surat kepada semua ketua parti itu, meminta Ahli Parlimen masing-masing, menandatangani perakuan bersumpah (SD), menyatakan sokongan kepada calon Perdana Menteri yang dinamakan mereka.

Susulan surat Speaker itu, PN yang mempunyai 73 Ahli Dewan Rakyat, mengemukakan surat sokongan daripada ketua parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) (23); Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (satu) berserta 10 wakil BN dan dua Bebas, kepada Istana Negara.

Langkah itu bagi membuktikan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Malah, PN turut menambah satu lagi SD sebelum menjadikan kepada 115 sokongan SD sebelum dipanggil menghadap di Istana Negara.

Bagaimana pun, susulan pertemuan di antara kepemimpinan BN dan PH pada pagi Isnin, seramai 10 Ahli Parlimen BN yang dikenal pasti memberi sokongan mereka kepada Muhyiddin diarah membatalkan SD sokongan itu.

Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya pada malam 21 November, kemudian memutuskan supaya semua wakil rakyat gabungan itu tidak memberi sokongan kepada mana-mana parti yang membentuk kerajaan, sebaliknya akan menjadi pembangkang.

Langkah 10 wakil BN menarik balik sokongan itu hanya diketahui Muhyiddin ketika beliau bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira 4.15 petang semalam.

Tanpa SD mencukupi menyebabkan Muhyiddin terlepas peluang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pada masa sama, Anwar mengemukakan 86 SD dipercayai merangkumi 82 daripada wakil PH, WARISAN (tiga) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) (satu) serta surat sokongan daripada Ahmad Zahid, selaku Pengerusi BN yang mempunyai 30 Ahli Dewan Rakyat.

Pagi tadi, Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Twitter meminta supaya penyokong parti itu untuk kekal tenang kerana pimpinan parti sedang mengusahakan sesuatu dan masih di hadapan dalam usaha membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan selepas PRU15.

Berita Harian X