Khamis, 24 November 2022 | 12:19pm
Lim Guan Eng.
Lim Guan Eng.

Guan Eng pula mohon maaf kepada GPS, kerajaan Sarawak

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan Sarawak, hari ini.

Permohonan maaf itu disuarakan selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang mewakili parti itu, menyampaikan permohonan maaf kepada kerajaan dan rakyat Sarawak, ketika bertemu dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Kuching, hari ini.

Dalam permohonan maafnya, Guan Eng menegaskan masa depan negara perlu menjadi keutamaan dan berharap dapat bersama-sama mengorak permulaan baharu dan berganding bahu demi kebaikan rakyat.

"Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak. Masa depan negara mendahului segala-galanya.

"Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Loke melakukan kunjungan hormat ke kediaman Abang Johari di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub di Petra Jaya dan menzahirkan permohonan maaf, dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra.

Permohonan maaf daripada DAP kepada GPS itu dibuat ketika spekulasi pembentukan kerajaan perpaduan semakin pasti menjadi kenyataan, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, susulan kemelut pembentukan kerajaan yang berlanjutan sejak Ahad lalu.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan titah mengenai pembentukan kerajaan perpaduan ketika bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa lalu, namun ketika itu Muhyiddin menolak cadangan berkenaan.

Baginda kemudian meminta Barisan Nasional (BN) dan GPS untuk mempertimbang cadangan pembentukan kerajaan perpaduan ketika bertemu wakil pimpinan dua gabungan itu semalam.

Semalam UMNO memuktamadkan keputusan menyokong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti dizahirkan Agong, tetapi bukan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Berita Harian X