Khamis, 24 November 2022 | 11:17am
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg. - NSTP/NADIM BOKHARI
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg. - NSTP/NADIM BOKHARI

Loke jumpa Abang Johari, DAP mohon maaf kepada kerajaan, rakyat Sarawak

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GPS dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Kuching.

Dalam pertemuan itu di kediaman Abang Johari di Kuching, Loke berkata DAP memohon maaf kepada Abang Johari atas sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan penduduk Sarawak.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

"Kami mengadakan perbincangan secara mesra. Saya sudah memaklumkan kepada Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili DAP memohon maaf secara terbuka.

"Saya berharap pertemuan, hari ini, akan membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi Malaysia yang lebih maju serta progresif," katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Pertemuan dan permohonan maaf secara terbuka oleh DAP kepada GPS itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, meminta gabungan utama parti politik negara membentuk Kerajaan Perpaduan, susulan kemelut pembentukan kerajaan yang berlanjutan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Al-Sultan Abdullah menzahirkan titah mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa lalu. Namun ketika itu, Muhyiddin menolak cadangan berkenaan.

Baginda kemudian meminta Barisan Nasional (BN) dan GPS untuk mempertimbangkan cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan, ketika bertemu wakil pimpinan dua gabungan parti politik itu, semalam.

Semalam, UMNO memuktamadkan keputusan dengan menyokong untuk menyertai kerajaan perpaduan seperti dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, tetapi bukan yang diterajui oleh PN.

Berita Harian X