Khamis, 24 November 2022 | 10:48am
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

MKT sokong Zahid terus kekal Pengerusi BN, Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam tadi, memperkukuhkan sokongan mereka kepada presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk terus kekal sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata MKT juga memutuskan sebulat suara untuk terus menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.

"MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid, Presiden UMNO, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Sokongan itu dizahirkan selepas pelbagai desakan diterima Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sejak beberapa hari lalu, yang mahukan beliau berundur sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Ia susulan beberapa keputusan dibuat beliau khususnya dalan cara menentukan arah sokongan BN dan UMNO kepada gabungan parti yang mahu membentuk kerajaan, tidak dipersetujui pimpinan komponennya terutama MIC, MCA dan PBRS.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki malam tadi menafikan mesyuarat MKT parti itu akan membincangkan agenda menyingkirkan Ahmad Zahid.

Sebaliknya Asyraf Wajdi berkata mesyuarat di Ibu Pejabat UMNO itu akan meneliti tawaran dan syarat dikemukakan bagi pembentukan kerajaan perpaduan, seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Desakan daripada pelbagai pihak supaya Ahmad Zahid melepaskan jawatannya juga susulan prestasi buruk gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara yang tampil mendesak ialah Timbalan Ketua UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Operasi Pilihan Raya BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, sendiri menyuarakan pandangan yang Ahmad Zahid perlu mendengar suara akar umbi mahukan pemimpin nombor satu UMNO itu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk BN dalam PRU15.

Semalam, komponen BN yang terdiri daripada MCA, MIC dan PBRS, juga mahu mengemukakan ketetapan undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid susulan tindakannya yang didakwa mengkhianati keputusan dicapai menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN menetapkan pendirian BN yang berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid bertindak sendirian menukar pendirian itu dengan mengeluarkan surat sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong, menyatakan sokongan BN kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai PM ke-10 tanpa perakuan bersumpah semua wakil rakyat BN.

Berita Harian X