Rabu, 23 November 2022 | 5:57pm
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. - FB BN COMMS
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. - FB BN COMMS

MKT UMNO, Dewan Tertinggi BN putus hala tuju parti, bukan lagi pemimpin tertentu

KUALA LUMPUR: Rundingan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah selesai dan hasilnya akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini, disusuli mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pagi esok.

Sumber memaklumkan, proses seterusnya adalah membentangkan keputusan yang terhasil daripada dua mesyuarat terbabit kepada semua 30 Ahli Parlimen BN.

Jawatankuasa itu dianggotai Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua parti komponen, iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, turut menganggotai jawatankuasa terbabit.

"Semasa proses rundingan dengan PH, Datuk Seri Ismail Sabri tidak dilibatkan dan rundingan dengan PN pada hari ini tidak dihadiri Datuk Seri Ahmad Zahid kerana beliau demam, sebaliknya diketuai Datuk Seri Mohamad Hassan.

"Perunding-perunding yang dilantik ini tidak boleh buat keputusan. Semua keputusan akan ditentukan oleh MKT UMNO dan Dewan Tertinggi BN," kata sumber itu lagi.

Katanya lagi, rundingan oleh BN, sama ada dengan PH atau PN adalah keputusan Dewan Tertinggi BN.

"Malam ini, Datuk Seri Mohamad Hassan akan bawa ke mesyuarat MKT UMNO untuk pandangan MKT. Esok pagi, akan bawa ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Selepas itu barulah akan dibentangkan kepada 30 Ahli Parlimen BN," kata sumber berkenaan.

Berita Harian X