Rabu, 23 November 2022 | 5:55pm
Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Datuk Aaron Ago Dagang, menemui Tan Sri Abang Johari Abang Openg di DUN Sarawak sekembalinya dari Kuala Lumpur, petang tadi. NSTP/NADIM BOKHARI
Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Datuk Aaron Ago Dagang, menemui Tan Sri Abang Johari Abang Openg di DUN Sarawak sekembalinya dari Kuala Lumpur, petang tadi. NSTP/NADIM BOKHARI

Agong minta GPS pertimbang sertai Kerajaan Perpaduan

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, meminta Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertimbangkan cadangan cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi menamatkan kemelut politik yang sedang melanda negara.

Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata dalam perkara itu dizahirkan baginda kepada beliau bersama tiga lagi wakil GPS ketika diterima menghadap di Istana Negara hari ini.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, baginda bertanya mengenai pendirian GPS dan turut menjelaskan kepada mereka, alasan mengapa perlu diwujudkan Kerajaan Perpaduan.

"Saya tidak dapat membuat apa-apa keputusan (ketika itu). Kami mendengar sahaja pandangan baginda (berhubung penubuhan kerajaan perpaduan).

"Saya memaklumkan akan membawa pandangan baginda itu kepada pucuk pimpinan GPS dan saya sudah memberi taklimat (mengenainya) kepada Premier (Tan Sri Abang Johari Abang Openg)," katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Ditanya gabungan mana yang akan disertai GPS, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, berkata pihaknya kekal dengan pendirian menyokong penubuhan kerajaan bersama beberapa parti.

"Namun kami tetap patuh apa juga keputusan Yang di-Pertuan Agong dan jika baginda mahukan kerajaan perpaduan, kami setuju.

"Esok ada Mesyuarat Raja-Raja...mungkin mereka (Raja-Raja Melayu) akan berbincang mengenainya (pembentukan Kerajaan Perpaduan)," katanya.

Terdahulu, Fadillah menjelaskan mereka menerima panggilan daripada Istana Negara lewat petang semalam yang meminta wakil GPS menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Empat wakil GPS terbang ke ibu negara dan menghadap Seri Paduka kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Tiga lagi yang menyertai Fadillah pada pertemuan itu ialah Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Setiausaha Agung GPS yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang.

Sementara itu, Abang Johari yang ditemui ketika hendak meninggalkan Kompleks DUN Sarawak, enggan memberi komen lanjut mengenai taklimat yang disampaikan Fadillah.

"Sama sik tauk kita tok... sidak agik berunding (sama kita tak tahu, mereka masih berbincang)," katanya sambil bergegas ke kenderaannya.

Berita Harian X