Rabu, 23 November 2022 | 12:47am

BN kemuka permohonan penangguhan pertemuan dengan Agong

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memaklumkan sudah mengemukakan permohonan bagi menangguhkan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang ditemui selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Ibu Pejabat UMNO dekat Menara Dato Onn di sini, malam tadi.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, permohonan itu sudah dikemukakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, selain memaklumkan belum menerima sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, BN juga belum membuat sebarang keputusan berhubung sokongan terhadap mana-mana gabungan parti politik bagi membentuk kerajaan Persekutuan, selain memaklumkan BN kekal dengan pendiriannya untuk berkecuali dan sedia menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

"Pelbagai perkara diteliti dalam mesyuarat tadi, antaranya kedudukan parti tetapi kita belum memutuskan untuk menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan Persekutuan," katanya di sini.

Mengetengahkan pendirian sama, Sin Woon berkata, terpulang kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memaklumkan perkembangan lanjut berhubung mesyuarat yang berlangsung sebentar tadi.

"Kita juga tidak menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) bagi tujuan demikian, selain parti sudah memohon penangguhan (sembah mengadap Yang di-Pertuan Agong), biarkan Pengerusi (Ahmad Zahid) maklumkan (perkembangan lanjut)," katanya.

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata: "Bukan amalan kita bercerita pada khalayak. Sama ada (nak) mohon penangguhan (menghadap) atau tidak, anda akan tahu esok,".

Terdahulu, BN mengadakan dua mesyuarat berasingan dipercayai bagi memuktamadkan sokongan kepada gabungan parti politik yang mungkin membentuk kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua mesyuarat itu, masing-masing mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan mesyuarat bersama Ahli Parlimen gabungan berkenaan.

Sementara itu, beberapa pimpinan parti komponen BN turut menegaskan gabungan berkenaan kekal dengan pendirian tidak menyokong mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Antaranya ialah Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Berita Harian X