Selasa, 22 November 2022 | 3:50pm
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. - NSTP/ARKIB
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. - NSTP/ARKIB

Istiadat angkat sumpah Menteri Besar baharu Perlis jam 4 petang

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan agar Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang baharu diadakan di Istana Arau pada 4 petang ini.

Istana Arau dalam kenyataan memaklumkan, pada majlis tersebut, seorang calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi pilihan raya baru-baru ini akan dianugerahkan tauliah pelantikan daripada Raja Perlis dan seterusnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di hadapan baginda.

BERNAMA melaporkan, menurut kenyataan itu, pada petang semalam, Tuanku Syed Sirajuddin diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap taaruf secara seorang demi seorang oleh kesemua 14 ADUN daripada Perikatan Nasional (PN).

Ia berikutan kejayaan gabungan itu membentuk kerajaan melalui kemenangan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini Sabtu lepas.

Pada malam sebelumnya, Tuanku Syed Sirajuddin juga turut berkenan menerima menghadap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah mempersembahkan surat cadangan nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu daripada Pengerusi PN untuk pertimbangan dan limpah perkenan baginda.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Bendahari Agung PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebelum ini, BH memetik sumber dalaman PN Perlis, berkata hanya satu nama saja daripada PAS Perlis difahamkan diserahkan kepada pihak istana sebagai calon Menteri Besar.

Terdapat desas-desus Pengerusi PN Perlis yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli bakal dilantik Menteri Besar Perlis yang baharu susulan kemenangan PN pada PRU15 di negeri ini.

Mohd Shukri, 66, yang sebelum ini seorang guru dari 1985 sehingga 2013, juga penyandang kerusi DUN Sanglang sejak tiga penggal.

Berita Harian X