Ahad, 20 November 2022 | 3:15pm
Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika sidang media selepas PN berjaya menawan Perlis di Kompleks PAS Perlis. Turut hadir Datuk Seri Shahidan Kassim - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika sidang media selepas PN berjaya menawan Perlis di Kompleks PAS Perlis. Turut hadir Datuk Seri Shahidan Kassim - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Siapa MB Perlis baharu?

KANGAR: Tumpuan kini bertumpu kepada siapa yang bakal dilantik sebagai menteri besar Perlis yang baharu selepas Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selepas menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di negri itu selama 65 tahun, kemenangan PN itu bakal membawa perubahan besar kepada lanskap politik di negeri paling kecil di Malaysia itu.

Seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada satu perjumpaan dengan jentera PN Perlis beberapa bulan lalu, sekiranya PN menguasai Perlis maka menteri besar yang akan dilantik adalah dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS sebagai menghormati parti itu yang lebih senior dalam gabungan berkenaan.

Persoalan yang timbul adalah siapa Menteri Besar Perlis baharu yang akan menggantikan Datuk Seri Azlan Man dari BN yang tewas di kerusi DUN Bintong dalam PRU kali ini.

Buat masa ini, dua nama yang disebut-sebut akan mengisi jawatan itu iaitu Pengerusi PN Perlis yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Shukri Ramli atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Shukri dan seorang lagi adalah pemimpin muda PAS dan ADUN Guar Sanji, Ridzuan Hashim yang juga Ahli Jawatankuasa PN Perlis.

Kedua-dua nama ini juga adalah wakil rakyat PAS dalam DUN selepas berjaya menang di kerusi masing-masing pada PRU14 lalu selain Shukri juga adalah penyandang kerusi DUN Sanglang sejak PRU pada 2013.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ketika dihubungi berkata, kemenangan PN di Perlis semalam mengubah landskap politik dan pentadbiran negeri baru di Perlis yang selama ini dikuasai oleh UMNO dan BN.

"Namun begitu, apa jua nama yang dikemukakan pun perlulah mendapat perkenan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selain menjadi hubungan yang baik dengan Istana Arau.

"Saya percaya PN dapat mengemukakan nama calon MB yang dilihat sesuai dan mampu memacu negeri itu ke satu tahap yang lebih baik selepas ini terutama dari hubungan dengan rakyat dan juga pihak istana," katanya.

Sementara itu, PN Negeri Perlis akan menunggu watikah daripada PN Pusat berhubung nama calon Menteri Besar Perlis dari gabungan itu yang akan dicadangkan kepada pihak Istana Arau selepas PN berjaya membentuk kerajaan negeri.

Shukri berkata, pihaknya tidak pernah mencadangkan mana-mana nama wakil rakyat daripada gabungan itu untuk dijadikan pertimbangan sebagai Menteri Besar Perlis yang baru.

"Kita tunggu watikah daripada pusat, kita pun tidak pernah mencadangkan nama (Menteri Besar Perlis) jadi tunggu lantikan daripada pusat.

"Difahamkan, wakil yang akan menghantar watikah itu sudah pun bertolak semalam, apa pun kita tunggu dulu mengenai hal ini," katanya.

Shukri berkata, beliau menjangkakan bahawa angkat sumpah Menteri Besar yang baharu dijangka esok.

Semalam, PN berjaya menguasai kerajaan Perlis selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRU15 selain menguasai tiga kerusi Parlimen di negeri itu di Padang Besar, Kangar dan Arau.

Kemenangan itu sekaligus menyingkirkan Azlan dan menamatkan penguasaan BN dalam kerajaan negeri sejak merdeka pada 1957.

Berita Harian X