Khamis, 17 November 2022 | 2:49pm
Mohd Azmi (depan kanan) pada sidang media di Bangi, hari ini. - NSTP/OWEE AH CHUN
Mohd Azmi (depan kanan) pada sidang media di Bangi, hari ini. - NSTP/OWEE AH CHUN

PRU15: 102 NGO Melayu sokong Anwar jadi PM

BANGI: Sebanyak 102 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jaringan NGO Melayu Islam menyatakan pendirian menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-10.

Jurucakap mereka, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata Anwar adalah tokoh yang paling layak untuk dipilih bagi memimpin Malaysia keluar daripada krisis ekonomi, kebejatan tadbir urus, membanteras rasuah, mengatasi sentimen perkauman serta membanteras penyelewengan kuasa.

"Kami menerima perjuangan Anwar yang sentiasa menyuarakan soal akauntabiliti terhadap kepincangan pengurusan khazanah negara oleh golongan elit dengan amalan kronisme dan nepotisme yang berleluasa.

"Anwar juga secara konsisten menyuarakan isu kemiskinan rakyat merentas kaum dan nasib golongan bawahan dalam kalangan petani, nelayan, pekebun, pesawah, buruh kasar dan peniaga kecil.

"Golongan bawahan ini terus-menerus terhimpit dengan pendapatan yang rendah dan kualiti hidup yang tertekan," kata Mohd Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) pada sidang media di sini, hari ini.

NGO lain yang terlibat adalah Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA), Pertubuhan Ihya Ulum Munawwrah, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Ikatan Ilmuwan Islam Mengenai Dasar dan Tadbir Urus dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia.

Selain NGO, seramai 58 tokoh akademik, agamawan dan aktivis politik turut menyatakan sokongan sama.

Mohd Azmi berkata, Anwar memiliki pengalaman yang luas dalam pengurusan kewangan negara dan ia terbukti ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan selama lapan tahun bermula 1991 hingga 1998 sehingga diiktiraf di peringkat dunia.

Katanya, sebagai Menteri Kewangan, Anwar berjaya mengatasi isu hutang negara serta menangani isu belanjawan negara dengan menghasilkan bajet lebihan selama lapan tahun berturut-turut.

"Kecemerlangan perkhidmatan beliau juga sangat diperakui sebagai ahli Parlimen dan pelbagai jawatan dalam kerajaan seperti Menteri Belia dan Sukan, Pertanian, Pendidikan, Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Mohd Azmi, berkata pihaknya juga menghargai penegasan Anwar untuk mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedudukan Islam, hak istimewa Bumiputera, kedudukan bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Mengenai peluang PH mendapat majoriti mudah 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan, beliau berpandangan, sokongan rakyat kepada gabungan itu nampak baik.

"Selepas Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri, kami akan bertindak sebagai pemantau. Kami akan tengok bagi pihak rakyat untuk semak dan imbang dalam pentadbirannya kelak," katanya.

Pengerusi SUARA, Datuk Hadzir Md Zain pula berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan Anwar sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri adalah mengatasi masalah ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran negara.

"Saya berkhidmat selama 34 tahun sebagai penjawat awam, banyak masalah ketirisan. Contohnya peruntukan dalam bajet diumumkan besar, tetapi yang sampai kepada rakyat sangat kecil," dakwanya.

Berita Harian X