Selasa, 8 November 2022 | 4:22pm

PRU15: 'Penjelasan Zahid tutup mulut pembangkang' - Ismail Sabri

BERA: Penjelasan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menjawab isu calon Perdana Menteri jika gabungan itu mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mampu menutup mulut pembangkang.

Calon Perdana Menteri BN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kenyataan Ahmad Zahid itu juga membuktikan kesepakatan dicapai pimpinan komponen BN, iaitu UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Naib Presiden UMNO itu yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera, berkata penegasan oleh Presiden UMNO semalam, menafikan dakwaan pembangkang kononnya ada calon selain beliau bakal dilantik Perdana Menteri.

"Ia hanya persepsi palsu dan fitnah. Tujuan pembangkang menamakan orang lain sebagai Perdana Menteri daripada BN hanya untuk mengelirukan pengundi. Malah mereka juga mahu memecah belahkan pemimpin dalam BN.

"Namun Alhamdulillah, solidariti dalam UMNO dan BN tetap kukuh," katanya pada sidang media selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baru di Kuala Bera di sini, hari ini.

https://publish.twitter.com/?query=https%3A%2F%2Ftwitter.com%2Fbharianmy...

Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Datuk Sabariah Saidin.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 500 penduduk Kampung Bohor Baru yang turut berkesempatan beramah mesra bersama Ismail Sabri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika Program Kenduri Kampung di Kampung Bohor Baru sempena PRU15. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika Program Kenduri Kampung di Kampung Bohor Baru sempena PRU15. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pada kempen yang memasuki hari keempat, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, menyantuni penduduk di tujuh kampung dan taman perumahan termasuk bersama komuniti Orang Asli.

Semalam di Bagan Datuk, Ahmad Zahid sekali lagi mengulangi pendirian tiada isu membabitkan Ismail Sabri yang akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri sekiranya mandat diberikan kepada BN untuk mengetuai kerajaan.

Kata Pengerusi BN itu lagi, walaupun tidak menjadi Perdana Menteri atau menyandang apa-apa jawatan dalam kerajaan, beliau masih menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Naratif pembangkang dalam PRU15 mendakwa, Ismail Sabri akan diketepikan sebagai Perdana Menteri jika BN mendapat mandat.

Malah, beberapa pemimpin utama parti komponen lain seperti MIC dan MCA turut menyatakan pendirian menyokong Ismail Sabri kembali menerajui kerajaan kelak.


Suara Kita

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menyantuni penduduk kampung pada Program Kenduri Kampung di Kampung Bohor Baru, Bera, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menyantuni penduduk kampung pada Program Kenduri Kampung di Kampung Bohor Baru, Bera, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X