PADANG TERAP: Tindakan berterusan pembangkang mempersoal keputusan Barisan Nasional (BN) dalam soal pelantikan semula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri hanya bertujuan untuk mengelirukan pengundi.
Dalam hal ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pengundi tidak mudah keliru dengan dakyah dimainkan pembangkang bagi mengurangkan sokongan pengundi terhadap UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) yang selalu sebut perkara ini (pelantikan Perdana Menteri). Tidak perlu mengadu domba urusan BN, jangan bagi keliru pengundi kerana BN sudah ada keputusan.
"Keputusannya adalah Ismail Sabri dilantik semula. Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO juga jelaskan dan bersetuju Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri," katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau mengulas tindakan pembangkang dalam kempen PRU15 ketika ini sering membangkitkan dakwaan BN bakal melantik Ahmad Zahid sekiranya gabungan itu berjaya menang PRU15.
Sehubungan itu, Mahdzir yang juga penyandang Parlimen Padang Terap meminta pembangkang berhenti mengelirukan rakyat dalam isu pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Jelas beliau, parti itu sudah membuat ketetapan awal seperti dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bahawa Ismail Sabri bakal dilantik semula ke jawatan Perdana Menteri dan disokong 156 Bahagian UMNO seluruh negara.
Justeru, Mahdzir mengingatkan pembangkang tidak mencampuri urusan pelantikan Perdana Menteri atau cuba mengelirukan rakyat dalam isu berkenaan.