Rabu, 2 November 2022 | 6:22pm
Tan Sri Abang Johari Abang Openg (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tan Sri Abang Johari Abang Openg (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar mohon Abang Johari izin pembangkang ke Sarawak

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon Kerajaan Sarawak mempertimbangkan menarik balik larangan terhadap beberapa pemimpin utama PH memasuki Sarawak ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga Presiden PKR, berharap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dapat memberi kelonggaran bagi membolehkan pemimpin parti pembangkang membantu calon mereka di negeri itu sepanjang tempoh berkempen.

"Besar harapan saya agar permohonan ini (menarik balik larangan masuk Sarawak) dapat diberi perhatian oleh beliau (Abang Johari).

"Pihak kami juga tidak mahukan sebarang isu atau konflik dengan kerajaan Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika kempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) pada Disember tahun lalu, dua pemimpin PH diarah kembali sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Mereka ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan pemimpin PKR, Wong Chen.

Sebelum itu, beberapa ahli politik termasuk Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin, pernah disenarai hitam daripada memasuki Sarawak.

Berita Harian X