Jumaat, 28 Oktober 2022 | 7:13pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Khutbah Jumaat: Umat Islam perlu pilih pemimpin jujur, amanah

KUALA LUMPUR: Khutbah Jumaat di seluruh masjid Selangor hari ini mengingatkan pentingnya umat Islam sedar untuk memilih serta mengangkat pemimpin yang jujur, amanah dan menjadi hamba kepada rakyat.

Dalam khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor hari ini, ia turut mengingatkan rakyat supaya memilih pemimpin yang tepat bagi membuka ruang kepada Malaysia menjadi negara yang sejahtera dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Menerusi khutbah bertajuk 'Pemimpin dan Masa Depan', ia menekankan kekuatan ekonomi dan kesejahteraan negara hanya boleh dicapai dengan kestabilan politik, sikap pemimpin dalam melaksanakan amanah, warga negara saling hormat-menghormati, mengetahui dan mengiktiraf hak orang lain.

Pada masa sama, menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat dengan baik.

"Pimpinan dan orang Islam hendaklah menyedari bahawa jawatan atau kedudukan dalam Islam bukan tashrif (kemuliaan), sebaliknya taklif iaitu beban yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

"Justeru, tidaklah untuk bermegah-megah dengan mengumpul harta, bersenang-lenang atau bermewah-mewah untuk dunia yang hanya sementara," katanya.

Khutbah sama turut mengingatkan calon, penyokong dan petugas parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak memperdaya dan menipu rakyat dengan menjanjikan bulan dan matahari yang gagal ditepati.

Ia berikutan pemimpin dan masa depan adalah dua elemen yang saling berkaitan.

"Seseorang pemimpin itu adalah seseorang yang memiliki daya, keupayaan dan kecekapan supaya pencapaian masa depan sebuah negara mampu dibentuk dengan baik.

"Kepemimpinan dalam Islam bukan satu kemegahan, keistimewaan atau kelebihan. Ia adalah amanah, mandat yang berat dan kebertanggungjawabannya akan dipersoal di dunia lagi dan di hadapan Allah SWT.

"Pemimpin yang amanah, ikhlas, adil dan mengutamakan kepentingan umum adalah golongan pertama yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak," katanya.

Khutbah itu juga menyatakan sekiranya cuai dan gagal, maka ia adalah penghinaan serta penyesalan bagi seseorang yang memikul amanah.

"Siapa bakal dipilih menjadi pemimpin adalah faktor utama bagi umat Islam kerana pemimpin yang dipilih, potensi masa depan dan tonggak kepada kejayaan sebuah pentadbiran negara yang berintegriti dan gilang gemilang.

"Ini kerana Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam, calon pemimpin yang dipilih mestilah mempunyai karakter yang kuat, bekerja keras dan mempunyai inisiatif dan daya usaha, bijaksana di dalam kepelbagaian ras, bangsa dan agama.

"Malaysia memerlukan pemimpin hebat yang berpegangan teguh kepada prinsip agama Islam, berintegriti dan bermoral tinggi," katanya.

Sementara itu, pemimpin masa depan seharusnya mampu menentukan sesuatu dengan tepat dan betul serta menjaga semua unsur penting kedudukan Islam, umat Islam serta agama dan bangsa lain.

"Pemimpin masa depan juga hendaklah mampu memacu kemajuan spiritual dan fizikal yang seimbang dan membina asas perpaduan sebuah negara mengikut kerangka yang ditetapkan.

"Di tangan kita semua terletak hak bagi menentukan pemimpin yang mampu memperbaiki kerosakan dan masalah integriti sedia ada, membuka jalan dan menuju kecemerlangan dan kegemilangan masa depan negara," katanya.

Menurutnya lagi, umat Islam diharapkan tidak memilih pemimpin yang hanya memperlekeh agamanya.

"Fakta sejarah menunjukkan ramai pemimpin yang meletakkan perjuangannya atas dasar agama, memelihara bangsa, mempamerkan ketelusan dan amanah, namun selepas berkuasa segalanya berubah.

"Hakikatnya, ketika berkuasa hanya berlaku tindakan menjaga kepentingan kelompok dan kekuasaan, balas dendam dan saling menyalahkan sejarah masa lalu. Apabila berkuasa, agenda menjaga Islam dan hak orang Islam bertukar kepada membela individu tertentu atau kelompok sendiri berbanding membela rakyat," katanya.

Hasilnya, gagal menjaga kesatuan bangsa, kestabilan politik dan kehormatan negara sebagaimana didambakan oleh kita semua.

Katanya, manifesto perlulah realistik dan bersifat komprehensif yang meliputi setiap aspek keperluan rakyat dan masyarakat, kestabilan politik, keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Janji masa depan adalah terlalu berharga bagi rakyat dan negara untuk dikorbankan demi mencapai matlamat politik jangka pendek individu atau kumpulan tertentu. Sesungguhnya kepentingan Islam, Melayu, umat Islam dan Bumiputera sangat perlu diutamakan.

"Kedudukan Raja-raja Melayu, institusi agama dan hak-hak orang Melayu wajib dipertahankan, dalam masa yang sama tidak meminggirkan hak-hak agama dan bangsa lain," katanya.

Berita Harian X