Jumaat, 7 Oktober 2022 | 12:46am

'Kita tolak PRU sekarang, bukan tak sokong PM'

SUBANG JAYA: Pendirian Perikatan Nasional (PN) yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata isu sokongan kepada Perdana Menteri adalah perkara berbeza berbanding pendirian PN berhubung pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Itu (menarik sokongan kepada Perdana Menteri) bab lain. Ini bab pilihan raya," katanya ringkas ketika ditemui selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi BERSATU di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada surat daripada 12 anggota Kabinet PN kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini, bererti PN menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada surat daripada anggota Kabinet BERSATU dan PAS itu boleh dianggap sebagai mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Jika benar tafsiran itu, Asyraf Wajdi berpandangan Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen atau meletak jawatan.

Ia berdasarkan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan jemaah Menteri, melainkan jika Yang di-Pertuan Agong meminta Parlimen dibubarkan.

Mengulas mengenai surat berkenaan, Hamzah memaklumkan, pendirian itu dibuat berdasarkan konsensus dalam kalangan parti komponen PN yang tidak bersetuju PRU-15 dilaksanakan ketika musim tengkujuh dan risiko banjir besar.

"Kami menteri-menteri terima arahan untuk tidak mahu diadakan PRU pada masa terdekat kerana kita mengikut keputusan parti," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan semua 12 menteri daripada PAS dan BERSATU mewakili PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju jika PRU-15 dilaksanakan tahun ini.

Anggota Kabinet PN tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini atas faktor musim tengkujuh yang diramalkan berisiko mencetus bencana banjir besar hujung tahun ini, selain faktor pemulihan ekonomi yang memerlukan tumpuan penuh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama kira-kira sejam untuk mesyuarat pra-Kabinet, petang tadi.

Spekulasi ketika itu mengatakan Ismail Sabri dijangka memohon baginda membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15, selain membincangkan Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, petang ini.

Namun, beberapa media kemudian melaporkan isu pembubaran Parlimen tidak dibangkitkan oleh Perdana Menteri ketika menghadap Al-Sultan Abdullah.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook pula memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara rutin mingguan Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu berkaitan kerajaan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, hadir ke mesyuarat BERSATU di Shah Alam, malam ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, hadir ke mesyuarat BERSATU di Shah Alam, malam ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X