Khamis, 6 Oktober 2022 | 12:31pm
 Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Kesedaran berwakaf kurang

KUALA LUMPUR: Kekurangan modal untuk membangunkan tanah wakaf dan kesedaran amalan berwakaf yang masih rendah dalam kalangan masyarakat menjadi antara halangan yang dikenal pasti melambatkan pembangunan wakaf di negara ini.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata beberapa usaha sedang dilaksanakan kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengatasi masalah itu.

Antaranya termasuk mengadakan Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan dengan pelbagai pengisian meliputi seminar, forum dan siri jelajah ke semua negeri bagi meningkatkan kesedaran berwakaf.

"Selain itu, MAIN juga menjalinkan kerjasama bersama syarikat korporat, selain menubuhkan anak syarikat sendiri bagi membangunkan tanah wakaf seperti UDA Holdings Bhd dan Urus Maju Ehsan Sdn Bhd.

"Agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumpitera (TERAJU) melalui program Awqaf Ummah (AU) turut menyediakan dana bagi membantu MAIN melaksanakan pembangunan di atas tanah wakaf.

"Pada masa sama, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) turut mengadakan libat urus dengan MAIN bagi mengguna pakai Papan Pemuka Aplikasi Geospatial Tanah Wakaf yang dibangunkan pada tahun ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya mengenai halangan yang dihadapi dalam memperkembang wakaf di negara ini dan langkah untuk mengatasinya.

Mengenai kejayaan dan perancangan bagi meningkatkan sistem wakaf di negara ini, Idris memaklumkan, antara yang dilaksanakan adalah penyediaan dana berjumlah RM10 juta dalam Bajet 2022 kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi pelaksanaan Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian Bersepadu (WATANI) dan Wakaf Bencana.

Selain itu, peningkatan pembabitan pihak korporat dalam menawarkan produk wakaf seperti Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Waqaf FELDA, CIMB Islamic dan Bank Rakyat serta inovasi dalam produk wakaf seperti Wakaf Air dan Wakaf Masjid Hijau, kerjasama antara YWM dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

"Ketika ini, kerajaan sedang membangunkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) bagi tempoh 2022 hingga 2030 untuk memperkasa dan merancakkan perkembangan wakaf di negara ini.

"Pelan ini mengambil kira pelbagai aspek ke arah menambah baik pengurusan hal ehwal wakaf termasuk merangka pelbagai inisiatif bagi melonjakkan sumbangan wakaf kepada kewangan sosial Islam ke tahap yang signifikan," katanya.

Berita Harian X