X
Isnin, 12 September 2022 | 1:19pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Eksklusif: 197 syarikat tak berlesen tawar pakej umrah

PUTRAJAYA: Sebanyak 197 syarikat yang dikatakan menawarkan pakej pelancongan, termasuk pakej umrah disenaraikan sebagai entiti yang tidak berlesen oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sehingga mengundang kebimbangan orang ramai.

Syarikat terbabit disenaraikan di bawah 'Senarai Amaran Entiti Yang Melanggar Akta Industri Pelancongan 1992' dengan 20 daripadanya adalah terbaharu yang dikemas kini pada 10 Ogos lalu.

Ia antara lain membabitkan syarikat yang menawarkan pakej umrah dan lawatan ke tempat pelancongan dalam negeri serta ke negara Eropah, New Zealand, Australia, Korea dan Jepun.

Senarai nama 197 syarikat terbabit turut dipaparkan di laman web rasmi MOTAC dan di media sosial Facebook kementerian sejak Isnin lalu.

Dalam hantaran itu, MOTAC menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih syarikat pelancongan.

MOTAC turut menyertakan capaian senarai syarikat pelancongan yang berdaftar berjumlah 4,787 syarikat bagi panduan orang ramai.

Ia turut membalas komen pengguna pada ruangan komen, selain menyertakan capaian untuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) MOTAC bagi membolehkan orang awam menghantar aduan, cadangan atau pertanyaan.

Jurucakap MOTAC ketika dihubungi BH mengesahkan mengenai senarai 197 entiti berkenaan atas kesalahan menawarkan pakej pelancongan dan umrah tanpa lesen sah kementerian itu.

"Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 5(2), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang menyebut 'tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan, atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancongan; atau perniagaan agensi pengembaraan, melainkan jika ia adalah suatu syarikat dan memegang lesen sah.'

"Jika disabit kesalahan, Seksyen 5(3), Akta yang sama memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM500,000 atau dipenjarakan maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan berterusan, denda maksimum RM5,000 setiap hari boleh dikenakan," katanya.

Pada masa sama, MOTAC berkata, entiti yang disenaraikan itu terdiri daripada syarikat yang tidak mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen dan dalam senarai pemerhatian serta perancangan penguatkuasaan kementerian itu.

Katanya, ada juga antara entiti terbabit yang menggunakan tiga nama berlainan dan status mereka sudah disiasat.

"Kami sudah buat siasatan dan pemilik hadir ke ibu pejabat MOTAC. Kes mereka dalam proses permohonan lesen dengan pejabat MOTAC," katanya.

Sementara itu, hantaran MOTAC itu dihujani pelbagai reaksi daripada pengguna, termasuk yang mempersoalkan nama individu atau syarikat yang tersenarai sebagai entiti tidak berdaftar.

Orang ramai dinasihat supaya berhati-hati pilih syarikat mengendalikan pelancongan elak jadi mangsa penipuan. - Foto hiasan
Orang ramai dinasihat supaya berhati-hati pilih syarikat mengendalikan pelancongan elak jadi mangsa penipuan. - Foto hiasan

Seorang pengguna Facebook, Mohamad Iman mempersoalkan kenapa MOTAC tidak mengambil tindakan segera terhadap syarikat terbabit sebelum orang ramai terus menjadi mangsa.

"Knp (kenapa) kena suruh berhati-hati, knp kementerian yg berkenaan tidak ambil tindakan menarik lesen atau menutup terus agensi pelancongan yang melanggar peraturan," soalnya.

Seorang lagi pengguna bernama Azlyn Mahadzir berkata, ada kemungkinan syarikat terbabit berselindung dengan penipunan sehingga menawarkan pakej pembelian bilik hotel yang murah.

"Syarikat scammer juga banyak menipu pelanggan dengan menawarkan pakej pembelian bilik hotel yg murah-murah... ramai dh tertipu tp tak buat aduan di pejabat tribunal pengguna," katanya.

"Mohon hati-hati semua. Ada yg masih belum dapat refund (bayaran balik) deposit 300 (kerana tiada tiket kapal terbang pd bulan 12) Depa dah collect, tiket x ada. Refund pula susah nak dpt," kata pengguna, Syed Ahmad Faisal.

Keratan akhbar BH, 20 Jun lalu.
Keratan akhbar BH, 20 Jun lalu.

Seorang pengguna bernama Ukhti Amirah pula mendakwa, nama seorang individu disenaraikan berikutan syarikat berkenaan mampu menawarkan pakej pada harga lebih murah sehingga mengundang perasaan tidak puas hati pihak lain.

Baru-baru ini, BH melaporkan beberapa agensi pelancongan haji dan umrah dikesan menawarkan ratusan tempat untuk khidmat mengerjakan badal haji dengan pelbagai pakej dan bayaran bermula serendah RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga yang dilihat mampu menarik perhatian itu bagaimanapun disifatkan meragukan serta tidak sepadan dengan beberapa peraturan ditetapkan Kerajaan Arab Saudi ketika ini.

Berita Harian X