Khamis, 8 September 2022 | 12:51pm
Gambar tular kaki Gunung Lambak yang gondol sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Gambar tular kaki Gunung Lambak yang gondol sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.

Pengusaha durian diarah henti pembersihan

Kluang: Pengusaha tanaman durian di kaki Gunung Lambak dekat sini, sudah diarah memberhentikan kerja pembersihan hutan di situ, yang menyebabkan ia gondol sejak beberapa minggu lalu.

Pegawai Daerah Kluang, Jamaludin A Hamid, berkata Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sudah mengeluarkan arahan Notis Henti Kerja sejak 1 September lalu.

Katanya, beliau juga sudah memanggil semua ketua jabatan serta agensi berkaitan bagi membincangkan isu itu, terutama pemulihan kawasan berkenaan yang perlu dilakukan dalam tempoh tiga bulan.

"Saya maklum mengenai tular gambar kaki Gunung Lambak yang gondol sehingga mencetuskan kebimbangan ramai penduduk setempat selain masyarakat yang prihatin.

MPK sudah memasang penghadang di pintu masuk Gunung Lambak dan menempatkan kakitangan bagi pemantauan harian sejak minggu lalu.
MPK sudah memasang penghadang di pintu masuk Gunung Lambak dan menempatkan kakitangan bagi pemantauan harian sejak minggu lalu.

"Selain tindakan segera MPK yang mengeluarkan Notis Henti Kerja, Pejabat Hutan Daerah Johor Tengah turut sudah tamatkan permit pengeluaran balak dan kayu kayan hutan Gunung Lambak, sejak 1 September lalu.

"Sebenarnya, tanah itu milik persendirian yang ingin diusahakan dengan tanaman durian dengan keluasan 38.4 hektar (95 ekar). Apabila pemilik menghantar dokumen lengkap untuk mengusahakan tanah berkenaan, MPK dan Pejabat Hutan memberikan kebenaran termasuk permit pengeluaran balak bagi membersihkan kawasan itu bagi ditanam durian.

"Bagaimanapun,  pemilik didapati tidak mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan apabila pembersihan yang sepatutnya dilakukan secara berperingkat dibuat secara serentak sehingga kawasan itu gondol dalam skala besar," katanya kepada BH.

MPK sudah memasang penghadang di pintu masuk Gunung Lambak dan menempatkan kakitangan bagi pemantauan harian sejak minggu lalu.
MPK sudah memasang penghadang di pintu masuk Gunung Lambak dan menempatkan kakitangan bagi pemantauan harian sejak minggu lalu.

Sejak minggu lalu, gambar hutan kaki bukit Gunung Lambak yang gondol itu mencetuskan kontroversi dan kebimbangan ramai, sebelum ia tular di media sosial.

Ia menimbulkan kebimbangan ramai berikutan hujan lebat mula melanda kawasan itu sekali gus mengingatkan kembali terhadap bencana kepala air yang berlaku kepada penduduk Kampung Iboi berhampiran Gunung Inas, Kedah, bulan lalu.

Untuk rekod, terdapat dua penempatan besar penduduk berhampiran kaki Gunung Lambak yang gondol itu iaitu Taman Bahagia dan Taman Megah.

Dalam pada itu, Jamaludin berkata, MPK turut diarahkan memantau ketat lokasi yang digondolkan bagi memastikan pemilik tidak melakukan kerja lanjutan di tapak berkenaan.

"MPK sudah memasang penghadang di pintu masuk ke lokasi berkenaan, selain menempatkan kakitangan bagi pemantauan harian sejak minggu lalu.

"Saya juga sudah mengarahkan kerja pemulihan kawasan dilakukan segera dalam tempoh tiga bulan. Ia termasuk bagi menanam tanaman tutup bumi bagi memastikan tanah di situ tidak bertukar menjadi lumpur, sekali gus mengelak insiden tidak diingini apabila memasuki musim tengkujuh pada November nanti.

"Kita turut maklum dengan kebimbangan penduduk berikutan hujan lebat kebelakangan ini, oleh itu pemantauan akan terus giat dilakukan pihak berkuasa bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Ditanya mengenai tindakan terhadap pemilik tanah yang melakukan kerja pembersihan dan pengeluaran kayu balak tanpa mengikut prosedur ditetapkan, Jamaludin berkata, tindakan boleh diambil MPK mengikut akta dan peraturan yang ditetapkan.

Katanya, ia berikutan pemilik tanah tidak mematuhi kebenaran yang ditetapkan untuk melakukan pembersihan dan pengeluaran kayu secara berperingkat sebaliknya dilakukan secara serentak sehingga menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan penduduk berhampiran.

Berita Harian X