Rabu, 7 September 2022 | 8:33am
Mangsa banjir berpindah ke PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang. - Foto NSTP/Ihsan APM
Mangsa banjir berpindah ke PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang. - Foto NSTP/Ihsan APM

130 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan

BALING: Seramai 130 daripada 37 keluarga mangsa banjir di daerah ini masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga jam 7 pagi ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata semua mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang.

"Seramai 96 mangsa daripada 31 keluarga berada di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang manakala 34 mangsa daripada enam keluarga berada di PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang.

"Mangsa diarahkan berpindah kerana air masuk ke rumah mereka pada paras satu meter dan dibimbangi mereka terperangkap dengan keadaan cuaca gelap," katanya.

Mangsa berpindah mulai jam 9 malam berikutan hujan berterusan sejak petang semalam.

"Ini kali ketiga mangsa yang tinggal berdekatan Sungai Kupang terjejas dengan banjir kilat dan terpaksa berpindah ke PPS," katanya.

Mohd Faizol berkata, banjir kilat petang semalam membabitkan penduduk di Taman Bayu Sejahtera dan Kampung Sungai Batu.

"Manakala di Mukim Kupang membabitkan Kampung Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Hangus, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Masjid Iboi, Kampung Lata Chelak, Kampung Bok Bak dan Kampung Tanjung Nering," katanya.

Beliau berkata, hujan lebat sekitar jam 5 petang semalam menyebabkan air Sungai Kupang melimpah dengan cepat hingga dipercayai akibat tebing pasir pecah dihanyutkan air deras.

Berita Harian X