Khamis, 1 September 2022 | 10:57am
Selain kenaikan harga bahan binaan, industri pembinaan turut berdepan isu kekurangan pekerja. Foto fail NSTP
Selain kenaikan harga bahan binaan, industri pembinaan turut berdepan isu kekurangan pekerja. Foto fail NSTP

Bajet 2023: PKBM cadang pakej rangsangan bantu 90,000 kontraktor kecil

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menggesa kerajaan menyediakan pakej rangsangan khusus kepada lebih 90,000 kontraktor kecil G1 dan G2 dalam Bajet 2023, yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan.

Presiden PKBM, Datuk Azman Yusoff, berkata cadangan itu berikutan kumpulan kontraktor kecil berkenaan masih teruk terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan yang melambung tinggi kesan pandemik COVID-19, hingga menjejaskan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka.

Selain kenaikan harga bahan binaan, industri itu turut berdepan isu kekurangan pekerja tapak binaan yang berterusan, lonjakan mendadak kos logistik serta kelewatan pembekalan bahan binaan dari luar negara.

Menerusi pemberian projek dalam pakej rangsangan itu, Azman yakin ia bakal memberi kesan berganda kepada semua rantaian dalam industri binaan, termasuk pembekal bahan binaan, kedai perkakas serta pelbagai segmen perniagaan lain.

"Kami memohon supaya ada peruntukan segera disediakan bagi kontraktor kecil ini untuk melakukan kerja khusus seperti kerja penyelenggaraan dan lain-lain, dengan tawaran kerja boleh dilaksana menerusi sistem undian di jabatan kerajaan dan sebagainya.

"Kami merayu agar bantuan bersasar kepada kontraktor kecil G1 dan G2 diberi perhatian dan pertimbangan mendalam oleh kerajaan menerusi Bajet 2023, kerana sumbangan ribuan kontraktor ini kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat amat besar sekali.

"Wajarlah jika kerajaan meletakkan kumpulan kontraktor kecil G1 dan G2 sebagai antara kumpulan penggerak utama kepada usaha pemulihan ekonomi negara, khususnya diperingkat akar umbi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika ini, PKBM merekodkan sejumlah 91,252 kontraktor kecil G1 dan G2 berdaftar, meliputi 67,475 kontraktor G1 serta 23,777 kontraktor G2.

Julai lalu, PKBM dilaporkan berkata, kira-kira 75 hingga 85 peratus projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di negara ini berada dalam keadaan 'kritikal' disebabkan kenaikan harga barang melebihi 15 peratus dan situasi inflasi yang kian meruncing.

Ada bahan binaan di dalam dan luar negara, termasuk penyewaan jentera, mengalami kenaikan harga yang melampau sehingga 30 peratus akibat inflasi serta peningkatan kos logistik susulan kenaikan harga minyak dunia, kesan perang Russia-Ukraine.

Dalam Bajet 2022, kerajaan memberi perhatian pada industri itu dengan meneruskan pembinaan projek perumahan kumpulan berpendapatan rendah bernilai RM1.5 bilion dan pembinaan jalan luar bandar sepanjang 519 kilometer dengan peruntukan RM1.5 bilion.

Kerajaan juga meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Central Spine Road, selain peruntukan RM2.9 bilion bagi meneruskan projek bersaiz kecil dan sederhana untuk kontraktor Gred G1 hingga G4.

Berita Harian X