Jumaat, 30 September 2022 | 10:34pm
Harimau kumbang yang tersesat ke ruang parkir sebuah rumah teres di Taman Pelangi Semenyih, Kajang hari ini. - Foto ihsan JBPM
Harimau kumbang yang tersesat ke ruang parkir sebuah rumah teres di Taman Pelangi Semenyih, Kajang hari ini. - Foto ihsan JBPM

Harimau di luar parkir rumah dekat Kajang

KUALA LUMPUR: Penduduk kawasan perumahan di Taman Pelangi Semenyih, Kajang, dekat sini, gempar apabila seekor harimau kumbang tersesat sehingga memasuki ruang parkir sebuah rumah teres di situ, hari ini.

Terdahulu dalam insiden kira-kira jam 3.30 petang, seorang penghuni kediaman itu terkejut apabila mendengar ngauman harimau di ruang parkir.

Perempuan itu kemudian menjenguk ke luar melalui tingkap rumah sebelum melihat kelibat seekor haiwan besar berwarna hitam.

Situasi cemas itu menyebabkan beliau segera menghubungi pihak bomba pada jam 3.32 petang, sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih tiba empat minit kemudian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata setiba di lokasi, anggota pada mulanya menyangka haiwan itu adalah anjing liar tetapi apabila didekati, ia cuba menerkam.

"Menyedari situasi berbahaya itu, pihak bomba dengan bantuan anggota dari Balai Polis Semenyih kemudian membuat pengosongan di kawasan parkir dan memasang jaring khas.

"Pada masa sama, pihak bomba turut menghubungi Jabatan Perhilitan yang tiba pada jam 4.15 petang sebelum membidik ubat pelali pada haiwan itu," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Norazam berkata, selepas harimau kumbang itu pengsan akibat kesan ubat pelali, pasukan bomba mengangkat dan memasukkan haiwan dianggarkan seberat 45 kilogram itu ke dalam sangkar khas.

"Setelah memastikan tiada lagi punca yang mendatangkan bahaya di lokasi, haiwan terbabit diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, harimau itu dipercayai datang dari kawasan hutan berhampiran yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan rumah berkenaan.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku dalam insiden itu.

Berita Harian X