Jumaat, 30 September 2022 | 8:28pm

'Top 5' UMNO capai kata sepakat - Tok Mat

KUALA LUMPUR: Perbincangan lima pemimpin tertinggi atau 'Top 5' UMNO, hari ini, berjaya mencapai kata sepakat untuk kebaikan parti itu bergerak ke hadapan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada kesepakatan dicapai itu membabitkan isu tarikh pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Alhamdulillah, perbincangan bersama kepimpinan 'Top 5' parti, tengah hari tadi, berlangsung dengan baik.

"Dapat mencapai kesepakatan untuk kebaikan parti bergerak ke hadapan," katanya dalam ciapan melalui Twitter.

Selain Mohamad, 'Top 5' merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan tiga Naib Presiden, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sebelum ini, UMNO memaklumkan bahawa perkara berkaitan tarikh PRU-15 akan dibincangkan dalam kalangan 'Top 5' parti itu.

Dalam pada itu, beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tiba di Menara Dato Onn, di sini, bagi menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi parti berkenaan.

Mesyuarat itu dijangka bermula jam 9 malam ini.

(Gambar fail) Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. - NSTP/ASWADI ALIAS
(Gambar fail) Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. - NSTP/ASWADI ALIAS
Berita Harian X