Khamis, 29 September 2022 | 8:38pm

Raja Permaisuri Agong hasilkan sendiri batik

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempamerkan kemahiran menghasilkan batik ketika lawatan ke Galeri Prima Balai, Berita The New Straits Times Press (NSTP), di sini, hari ini.

Dalam lawatan bersama kira-kira 150 delegasi Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8, baginda meluangkan waktu mewarna karya batik dalam galeri itu yang masih dalam pembikinan.

Kecekapan dan kehalusan pergerakan tangan Tunku Azizah nyata memukau delegasi dari 13 negara termasuk Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Kanada, Belanda, Laos, Filipina, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Raja Permaisuri Agong turut menunjukkan beberapa alat peribadi yang digunakan untuk menghasilkan karya batiknya, selain meluangkan masa lebih satu jam menceritakan kepada delegasi mengenai karya baginda.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Michael Chan dan Pengarah Galeri Prima, Azlin Aziz.

Lawatan Tunku Azizah hari ini antara lain bagi menunjukkan karya baginda kepada delegasi simposium itu, merangkumi 41 kain batik, tujuh pasang baju batik serta dua hasil karya lukisan batik dihasilkan baginda.

Pameran seni bertemakan Synthesis di Galeri Prima sejak 1 Ogos lalu hingga 30 September ini, turut menampilkan 42 karya seni karya 37 artis tempatan terkenal dan baharu seperti Datuk Chuah Thien Teng, Chuah Seow Keng, Yusof Ghani, Abdullah Jones, Fauzin Mustafa, Mastura Abdul Rahman, Zaharin Muhammad dan Raja Azhar Idris.

Sebahagian daripada hasil jualan karya seni daripada pameran itu akan disalurkan kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Galeri Prima ialah galeri seni persendirian pertama mendapat kebenaran Tunku Azizah untuk mempamerkan karya eksklusif baginda, batik cetakan blok, iaitu antara teknik pembuatan batik tradisional tertua di negara ini.

Raja Permaisuri Agong juga memperkenan Galeri Prima mempamerkan karya seorang daripada pelukis batik terbaik negara, Ramli Malek, di antara 1943 hingga 1982.

Beberapa karya yang dipamerkan sebahagian daripada koleksi seni peribadi Tunku Azizah dan tidak pernah dipamerkan kepada umum.

Terdahulu, Tunku Azizah merasmikan penutupan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Putrajaya, yang dianjurkan sejak 25 September lalu.

Malaysia yang menjadi tuan rumah pada simposium kali ini mengangkat 'Celebrating Textiles: A Journey', sebagai tema dan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Simposium anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja itu berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta dari 13 negara yang membabitkan penggiat seni tekstil, artisan dan penenun.

Tunku Hajah Azizah berbual-bual dengan pempamer pada pada simposium tekstil tradisional ASEAN, hari ini. - Foto BERNAMA
Tunku Hajah Azizah berbual-bual dengan pempamer pada pada simposium tekstil tradisional ASEAN, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X